Adakah Zahid 'tersasul' lagi ketika tuduh PAS 'parti kura-kura'?

 


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini menyamakan PAS sebagai 'parti kura-kura'.

Alasan yang diberi beliau adalah kerana kononnya PAS menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip apabila berada di tampuk kuasa.

Memang melucukan kata-kata Ahmad Zahid itu kerana gelaran kura-kura itu lebih tepat kena ke batang hidung UMNO sejak parti itu di bawah pimpinannya.

Kita masih belum lupa apabila Ahmad Zahid menyatakan pendirian UMNO adalah sama dengan pendirian Kerajaan Perpaduan dalam isu cadangan penjualan sebahagian saham MAHB kepada anak syarikat BlackRock yang pro-Israel.

Walhal, Pemuda UMNO dan akar umbi parti membantah keras cadangan tersebut yang dianggap mengkhianati pendirian UMNO yang teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka daripada cengkaman Zionis.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang konsisten mempertahankan prinsip parti dalam isu jualan saham MAHB difitnah sebagai 'ejen PN' oleh sekutu-sekutu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, apakah Ahmad Zahid sudah lupa bahawa beliau mengingkari sumpah No Anwar, No DAP selepas PRU15 yang menyaksikan UMNO dan BN mencatatkan keputusan pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah?

Walau bagaimanapun, beliau harus diberi pujian kerana konsisten dengan sumpah No Bersatu.

Sebaik-baiknya Ahmad Zahid berfikir masak-masak sebelum memperlekehkan PAS sebagai 'parti kura-kura'. 

Dalam keadaan sekarang, rakyat melihat 'kura-kura' itu berwarna merah, bukannya hijau.

Usahlah terlalu angkuh selepas kemenangan di Nenggiri kerana ia tidak mengubah hakikat bahawa UMNO dibantai teruk pada PRU15 dan PRN enam negeri.

Diharap juga Ahmad Zahid tidak tersasul seperti apa yang berlaku semasa berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin baru-baru ini.

Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan