BN boleh tawan semula Nenggiri jika...

Dari segi rekod prestasi, DUN Nenggiri boleh dikatakan sebagai kerusi boleh menang bagi BN di Kelantan yang didominasi PAS.

BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal sejak PRU11.

Namun, kemenangan tidak memihak kepada BN pada PRN Kelantan 2023, apabila calon BN, Ab Aziz Yusoff tewas kepada calon PAS, Mohd Azizi Abu Naim.

BN tumbang akibat rempuhan gelombang hijau yang melanda PRN enam negeri ketika itu.

Selepas kira-kira setahun, pengundi di DUN Nenggiri berdepan PRK pula pada 17 Ogos ini setelah kerusi itu diisytiharkan kosong apabila keahlian Mohd Azizi dalam Bersatu terhenti.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan berdepan dengan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.

Situasi Mohd Rizwadi agak janggal kerana beliau yang juga ahli Bersatu merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Gua Musang.

Jadinya, calon PAS dari Bersatu yang sebelum itu orang Pas juga bertanding di kerusi yang dahulunya dimenangi oleh bekas pemimpin Bersatu.

Mengapa tidak pilih sahaja calon dari Bersatu sejati, bukannya yang 'melompat' dari Bersatu.

Keahlian Mohd Azizi dalam Bersatu sebelum ini pun terhenti setelah beliau menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maka, boleh dikatakan calon Bersatu yang melompat dari PAS akan mempertahankan kerusi yang kosong selepas penyandangnya dari Bersatu dituduh melompat parti.

Jika kena gayanya, BN boleh memanfaatkan situasi janggal ini untuk menawan semula kerusi DUN Nenggiri semasa berkempen.

Itu pun jika tidak ada mana-mana pemimpin Kerajaan Perpaduan yang bermulut celopar 'membahlolkan' rakyat semasa berkempen.



Catat Ulasan

0 Ulasan