Kerajaan buka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa kerajaan akan membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock. 

Beliau menegaskan, siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas bertemu dengan keluarga mendiang Beng Hock di Putrajaya. 

Dalam pertemuan tersebut, Anwar berbicara panjang lebar bersama ibu bapa mendiang, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee; anaknya Teoh Er Jia, serta adik mendiang, Teoh Lee Lan.

Beng Hock yang berkhidmat sebagai pembantu kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor, ditemukan mati pada 16 Julai 2009, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam. 

Kematian Teoh menimbulkan kontroversi dan pelbagai spekulasi mengenai sebab-sebab di sebaliknya.

Mahkamah Rayuan pada 5 September
2014 memutuskan bahawa kematian Teoh adalah akibat tindakan individu yang tidak dikenali dan mengarahkan kes disiasat semula.

Anwar berkata, beliau mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada keluarga mendiang.

"Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang," katanya, menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan keadilan ditegakkan.









Catat Ulasan

0 Ulasan