Lawatan kuil: Kerajaan Perak minta semua pihak bertenang


Kerajaan Negeri Perak meminta semua pihak bertenang berikutan isu kursus lawatan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke sebuah kuil Hindu baru-baru ini.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata, semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, Kerajaan Negeri Perak mengambil berat polemik yang timbul berikutan penyebaran rakaman video mengenai kursus lawatan tersebut.

"Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik Kerajaan Negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

"Sehubungan itu, dengan ini ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip "maqasid syariah" dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata, pihaknya telah memanggil satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri oleh Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan.

Jelasnya, hasil daripada mesyuarat berkenaan dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu tersebut.

 "JAIPk telah diarahkan untuk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

"JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

"JAIPk diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum mengunjurkan program serupa itu pada masa hadapan sebagai langkah bagi memastikan modul, kaedah dan pendekatan yang lebih sesuai.

"Kerajaan Negeri mahu semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama," jelasnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan