Laung solidariti Palestin tetapi jual saham MAHB kepada anak syarikat BlackRock - Ibrahim

Kerajaan Perpaduan digesa membatalkan cadangan penjualan saham MAHB kepada GIP bagi membuktikan ia benar-benar bersolidariti dengan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel.

Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu juga adalah satu tindakan tegas dan bermaruah bagi menghormati pemergian bekas Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

"Apa makna dan di mana maruah integriti pemimpin Malaysia melaungkan pembebasan Palestin dan mengutuk pembunuhan rakus ke atas wira Islam dunia, asy-syahid Ismail Haniyeh jika kerajaan Malaysia meneruskan penjualan saham MAHB kepada GIP-BlackRock. 

"BlackRock adalah pembekal senjata yang membunuh lebih 40 ribu rakyat Palestin dan penyertaan BlackRock dalam MAHB boleh menggugat keselamatan negara serta mendedah semua lapangan terbang Malaysia kepada Neo-Feudalisme G7," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan order baharu dunia untuk melawan rejim Zionis Israel satu lagi 'layang-layang tanpa tali'. 

Ibrahim berkata, masa berlalu, rakyat Palestin dan bumi Palestin musnah serta hilang, namun pemimpin-pemimpin dunia Islam terus beretorik, ada juga yang menjadi 'perkakas dan barua' Zionis Israel dan kuasa besar Barat.

"Buktikan, jangan bercakap dua alam dan main wayang!" jelasnya.




Catat Ulasan

0 Ulasan