Move on lah Muhyiddin, sudah takdir tak jadi PM kembali

 

Muhyiddin Yassin (Gambar: FB Tuan Ibrahim Tuan Man)


Hampir dua tahun berlalu sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 namun Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mendakwa jawatan itu sepatutnya menjadi miliknya.

Rakyat sudah menerima hakikat bahawa Anwar merupakan Perdana Menteri, sekurang-kurangnya sehingga penggal ini berakhir.

Namun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri seolah-olah tidak berpuas hati dan mengungkit semula perkara itu semasa menyampaikan ceramah sempena kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Pengerusi PN itu tersilap langkah kerana ceramahnya bukan sahaja tidak membantu PAS untuk menang di Nenggeri, malah ia telah mencetuskan kemurkaan institusi diraja Pahang.

Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Banyak laporan polis telah dibuat terhadap Muhyiddin di seluruh negara dan hari ini, beliau akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

Sebagai Presiden sebuah parti yang berteraskan Melayu dan Islam, Muhyiddin sepatutnya amat memahami bahawa adalah satu kepantangan untuk menyentuh institusi diraja apatah lagi memperlekehkannya dalam ceramah politik.

Sebelum menubuhkan Bersatu, Muhyiddin juga lama bergelumang dalam UMNO yang teguh mempertahankan Islam, Melayu dan raja sejak dahulu, kini dan selama-lamanya.

Walaupun tidak berpuas hati dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi diraja dalam pertelingkahan politik.

Jika beliau masih mengimpikan jawatan Perdana Menteri sekali lagi, tunggulah sehingga PRU16. Itu pun jika PN menang.

Melihat kepada prestasi Muhyiddin yang kurang memuaskan ketika menjadi Perdana Menteri kelapan dahulu, nampak agak sukar untuk beliau diberi peluang semula.

Sudah terdengar desas-desus yang mahu melihat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PN menang PRU16.

Mungkin itu langkah terbaik memandangkan PAS adalah tunjang kekuatan sebenar dalam PN manakala parti-parti lain iaitu Bersatu dan Gerakan hanya menumpang tuah sahaja.

Tambahan pula, menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sehingga kini masih lagi belum pulang dari luar negara untuk membantu siasatan SPRM.

Selagi menantunya belum pulang, pelbagai spekulasi timbul dan pasti akan menyukarkan usaha Muhyiddin untuk menjayakan impiannya kembali sebagai Perdana Menteri.

Lebih baik jika Muhyiddin berundur daripada menerajui Bersatu memberi laluan kepada muka baharu untuk mengemudi parti dan PN mengharungi kempen PRU16.

Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan