PRK Nenggiri penentu masa depan - Zahid

PRK DUN Nenggiri bukan sekadar satu pilihan raya kecil, tetapi ia merupakan penentu arah masa depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah peluang keemasan untuk memilih calon yang benar-benar mampu membawa perubahan dan kemajuan yang berterusan.

"Saya yakin dengan kelebihan yang Awi (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) miliki. 

"Saya percaya calon No. 2 ini mampu memberi bakti yang terbaik untuk masyarakat di Nenggiri amnya dan Kampung Jerek khususnya," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kunjungannya ke PDM Jerek sempena kempen PRK DUN Nenggiri.

Mohd Azmawi bertembung satu lawan satu dengan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lalu, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

Sementara itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga pukul 11.59 malam 16 Ogos.

Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Kerusi DUN berkenaan telah dipertandingkan sejak 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN dan kali terakhir dimenangi Mohd Azizi.



Catat Ulasan

0 Ulasan