DAPSY Melaka gesa tindakan tegas terhadap kumpulan perosak


DAPSY Melaka mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mempromosikan agama Kristian di depan Surau Warisan, Bandar Hilir, baru-baru ini.

Ketuanya, Cassel Krishnan berkata, kumpulan perosak itu tidak relevan dan bukan berasal dari Melaka.

Menurut beliau, mereka secara terang-terangan mengabaikan sensitiviti tempatan dan rasa hormat terhadap komuniti di Melaka.

"Secara peribadi sebagai penganut agama Kristian saya boleh mengesahkan bahawa gereja-gereja dan kumpulan Kristian di Melaka sentiasa menjalankan aktiviti awam dengan kebijaksanaan dan kewaspadaan, menjalin hubungan mesra dengan pemimpin agama lain selari dengan apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

"Insiden ini pasti akan dikecam oleh pemimpin Kristian lain sebagai kejadian terpencil dan tidak bijak. Ia telah pun dikecam keras oleh presiden MCCBCHST," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Cassel menambah, semua kumpulan agama, tanpa mengira kepercayaan mereka, mesti mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai provokatif atau boleh mengganggu keseimbangan harmoni antara agama. 

Kata beliau, hormat dan toleransi bukanlah pilihan, ia adalah keperluan. 

"Insiden terbaharu ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap asas hormat dan kesopanan. 

"Hal ini juga telah melanggar perlembagaan yang telah disepakati bersama oleh rakyat Malaysia. 

"Justeru, mereka yang terlibat ini wajib diambil tindakan yang keras agar tidak menjadi barah dalam masyarakat kita," tegasnya.

Cassel juga meminta mana-mana pihak, terutamanya parti politik, agar tidak cuba mengeksploitasi isu tersebut untuk agenda peribadi. 

"Kita tidak harus membiarkan isu ini menjadi tunggangan untuk memecahbelahkan masyarakat," jelasnya. 



Catat Ulasan

0 Ulasan