Anggota tentera maut akibat tembakan rambang


Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia mengesahkan seorang anggota tentera meninggal dunia akibat tembakan rambang ketika menjalani menjalani latihan di kawasan am Song, Sarawak, awal pagi semalam.

Menurutnya, mangsa adalah dari formasi 9 Briged, Sibu, dijadualkan menjalani latihan mulai 21 hingga 29 September ini.

Katanya, kejadian itu berlaku pada pukul 2.45 pagi ketika platun berkenaan sedang berehat. 

"Anggota tentera mendengar bunyi motosikal di jalan tidak berturap berhampiran lokasi mereka, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. 

"Tindakan segera diambil untuk memeriksa perimeter, dan didapati seorang anggota telah mengalami kecederaan akibat tembakan," katanya dalam kenyataan media, malam tadi. 

Tambahnya, anggota yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada pukul 4 pagi sebelum dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada pukul 5 pagi. 

Namun, jelasnya, anggota tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 7.43 pagi di hospital tersebut akibat kecederaan yang dialaminya.

"Pihak polis telah menerima laporan mengenai insiden ini dan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan. 

"Tentera Darat Malaysia menyeru masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau maklumat berkaitan insiden ini bagi memberi ruang kepada siasatan serta menghormati waris dan keluarga yang sedang berduka," ujarnya.

Menurutnya, pengurusan jenazah anggota tersebut akan diuruskan setelah proses bedah siasat selesai dan pihak waris yang berada di Sarikei, Sarawak, telah dimaklumkan mengenai kejadian itu serta lokasi pengebumian akan diumumkan kemudian. 

"Tentera Darat Malaysia juga mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga yang terjejas, serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," katanya.


Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan