Idzham Mohd Hashim |
Iskandar Investment Berhad (IIB) berpendapat bahawa penubuhan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) merupakan mercu tanda pembangunan yang akan merangsang ekonomi Johor dengan ketara.
Pengenalan SFZ dilakukan pada masa yang tepat, ketika Johor bersedia untuk memanfaatkan lokasinya yang strategik dan infrastrukturnya yang semakin meningkat dalam mengukuhkan peranannya sebagai hab kewangan dan ekonomi penting di Asia Tenggara.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim menyatakan keterujaan beliau tentang Zon Kewangan Khas Johor dan potensinya untuk memacu pertumbuhan rantau ini di samping mengukuhkan hubungannya dengan Singapura.
"Kami amat teruja dengan pelancaran SFZ Forest City, yang dijangka akan menarik pelaburan nilai tinggi melalui pelbagai insentif menarik seperti kadar cukai korporat konsesi dari 0% hingga 5%, kadar cukai pendapatan rata 15% untuk pekerja berpengetahuan, dan proses imigresen yang pantas.
"Kami menjangkakan faedah-faedah ini akan menjadikan Johor sebuah destinasi yang sangat menarik untuk syarikat multinasional dan institusi kewangan global, memacu pewujudan pekerjaan, dan pertumbuhan dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, teknologi dan logistik. SFZ Forest City akan menjadi pengubah keadaan, menyemarakkan pembangunan ekonomi yang mampan, memupuk inovasi, dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan di rantau ini," katanya dalam kenyataan media.
Kebangkitan semula Forest City yang ditunggu-tunggu melalui SFZ juga dijangka akan terus memangkin trajektori pembangunan Johor.
Berdekatan dengan Singapura, salah satu pusat kewangan terulung dunia, mengukuhkan lagi daya tarikan Johor kepada pelabur global dan meletakkannya sebagai pemain utama dalam ekonomi serantau.
SFZ akan menjadi pengubah keadaan yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan di samping meningkatkan daya saing serantau dan antarabangsa Johor.
Idzham berkata, IIB melihat perkembangan itu sebagai peluang menarik bagi Iskandar Puteri, di mana IIB memainkan peranan strategik sebagai pemaju induk.
"Lokasi Iskandar Puteri yang berdekatan dengan Forest City menjadikannya sebagai lokasi ideal untuk memperoleh manfaat secara langsung daripada limpahan ekonomi inisiatif ini.
"Dengan projek sedia ada kami yang menarik, seperti Tech Medini dan GBS Iskandar @ Medini, Iskandar Puteri sudah pun berkembang maju sebagai hab untuk teknologi dan inovasi.
"SFZ Forest City akan melengkapkan usaha ini dengan menarik gelombang perniagaan baharu, meningkatkan permintaan untuk ruang komersial berkualiti tinggi, dan memacu pelaburan seterusnya dalam infrastruktur.
"Ini akan mempercepatkan transformasi Iskandar Puteri kepada daerah perniagaan bertaraf dunia dan pusat pekerjaan berkemahiran tinggi," jelasnya.
Di samping itu, projek infrastruktur Johor yang akan datang termasuk Sistem Transit Pantas (RTS), Transit Pantas Autonomi (ART) dan potensi pemulihan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan mempertingkatkan kesalinghubungan antara SFZ, Iskandar Puteri, dan Singapura.
Rangkaian pengangkutan ini akan melonjakkan lagi daya tarikan Iskandar Puteri kepada pelabur dan perniagaan global, menjadikannya destinasi yang lebih mudah diakses dan berdaya saing.
Contoh global zon ekonomi yang serupa, seperti zon perdagangan bebas (FTZ) Dubai dan daerah kewangan UAE, mempamerkan potensi besar hab kewangan yang terletak secara strategik.
Dubai Multi Commodities Centre (DMCC), khususnya, telah menjadi kayu ukur kepada kejayaan, menarik pelbagai rangkaian luas industri daripada perdagangan berlian kepada sektor baru muncul seperti kenderaan elektrik (EV).
Dengan lebih banyak syarikat China yang berdaftar di bawah DMCC menjelang akhir tahun 2023 dan keupayaan Dubai untuk menawarkan perkhidmatan khas, ruang komersial berkualiti tinggi dan insentif yang disokong kerajaan telah menjadikannya sebagai pemain utama dalam perniagaan global.
"Pertumbuhan ini menunjukkan bagaimana zon yang tersusun dengan baik mampu menyokong pengembangan perniagaan antarabangsa, terutamanya dengan menawarkan ekosistem yang disesuaikan untuk industri tertentu," katanya.
Idzham berkata, SFZ Forest City juga boleh meletakkan dirinya sebagai gerbang kewangan dan perniagaan di Asia Tenggara dengan menggunakan elemen daripada model Dubai.
Menurut beliau, dngan ketersambungan dan penyepaduan yang dipertingkatkan ke dalam inisiatif serantau yang lebih besar, Johor boleh menarik pemain global dengan menawarkan insentif strategik dan menyediakan persekitaran perniagaan yang disesuaikan, SFZ Forest City boleh mempercepatkan transformasi ekonominya sendiri, memupuk inovasi dan memacu pertumbuhan mampan untuk rantau ini.
"IB komited untuk membina metropolis masa depan yang inklusif dan mampan di Johor dan SFZ Forest City akan memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan visi ini.
"Ketika Johor berkembang sebagai model bagi pertumbuhan bandar yang mampan, IIB akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk pertumbuhan di ASEAN," ujarnya.
0 Ulasan