Mohd Khairuddin Othman |
Nampaknya, kerusi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) memang sangat panas. Dalam masa tidak sampai setahun, penyandangnya bakal bertukar lagi.
Hari ini, media melaporkan perkhidmatan Ketua Pengarah J-Kom, Dr Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan namun sebabnya tidak diketahui.
Setiausaha PKR Selangor itu engggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut dan meminta media bertanya kepada Kementerian Komunikasi.
Mohd Khairuddin dilantik pada 1 Mac lalu bagi menggantikan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November 2023.
Mohammad Agus meletak jawatan setelah isu video panas yang didakwa melibatkan beliau dan seorang bekas pegawai J-Kom tular dalam media sosial.
Dengan penamatan perkhidmatan Mohd Khairuddin itu, timbul persoalan tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam J-Kom yang diberi tanggungjawab untuk menyebarkan propaganda kerajaan.
Apakah prestasi beliau kurang memuaskan memandangkan J-Kom sejak kebelakangan ini seolah-olah hidup segan mati tak mahu.
Laman Facebook J-Kom juga tidak lagi dapat dikesan selepas Mohammad Agus meletak jawatan. Situasi ini sangat pelik kerana J-Kom sepatutnya aktif dalam media sosial.
Siapakah yang akan menggantikan Mohd Khairuddin selepas ini dan berapa lamakah penggantinya itu dapat bertahan?
0 Ulasan