Gambar hiasan: Danish Ahmad / Pexels |
RinggitPlus semalam mengeluarkan keputusan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2024, iaitu kajian tahunan yang mengkaji tabiat, cabaran dan prospek kewangan rakyat Malaysia.
Keputusan tahun ini menemukan peningkatan dalam pelbagai penunjuk utama, dengan tanda-tanda perubahan menaik untuk keselamatan dan kesejahteraan kewangan – namun keputusan juga menekankan keperluan yang semakin meningkat untuk celik kewangan digital yang lebih mantap di seluruh negara.
Kurang Cubaan Penipuan, namun Kewaspadaan Kekal Menjadi Keutamaan
Pada tahun 2024, lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia (38%) dilaporkan mengalami cubaan penipuan kewangan yang lebih sedikit berbanding dengan tahun lepas, dengan jumlah keseluruhan mereka yang mengalami cubaan sedemikian berkurang kepada 86% daripada 94%, iaitu jumlah besar yang dilaporkan pada tahun 2023.
Perkembangan ini menandakan peningkatan yang ketara, membuktikan bahawa usaha kesedaran antipenipuan yang dipacu oleh badan-badan kerajaan Malaysia sedang membuahkan hasil. Malah, 56% responden memuji kempen kesedaran Jangan Kena Scam yang dijalankan di seluruh negara kerana membantu mereka mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
Walaupun situasi ini merupakan langkah yang positif dalam hala tuju yang betul, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk melindungi rakyat Malaysia. Tinjauan RMFLS juga menemukan dapatan bahawa sehingga 32% rakyat Malaysia mengakui ketidakpastian atau kekurangan pengetahuan tentang tindakan yang perlu diambil atau pihak yang perlu dihubungi apabila berhadapan dengan situasi penipuan kewangan lazim, termasuk penipuan penyamaran atau pemberitahuan transaksi penipuan.
Hal ini menyerlahkan kelemahan berterusan yang mesti ditangani, terutamanya apabila pendigitalan semakin berkembang dan rakyat Malaysia semakin menerima alat digital dalam kewangan peribadi mereka: 95% responden menggunakan sekurang-kurangnya satu e-dompet (meningkat daripada 91% pada tahun 2023 dan 89% pada tahun 2022). Sementara itu, 45% memegang akaun dengan sekurang-kurangnya satu bank digital, dan 26% merancang untuk membuka satu akaun digital dalam jangka masa terdekat. Pembelian insurans dan takaful secara dalam talian juga semakin meningkat, dengan 29% memilih kaedah ini.
Khususnya, pergantungan pada media sosial sebagai sumber utama maklumat kewangan adalah semakin ketara, dengan markah kepercayaan untuk platform sosial meningkat daripada 3.7 kepada 4.0 secara tahunan. Terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan celik kewangan digital dan memastikan rakyat Malaysia mempunyai pelbagai sumber yang diperlukan oleh mereka untuk memerangi maklumat salah dan penipuan.
Titik Perubahan untuk Kesejahteraan Kewangan Malaysia
Buat kali pertama sejak COVID-19, tiga metrik utama dalam RMFLS menyaksikan trend yang positif. Yang pertama ialah rakyat Malaysia mula menyimpan lebih banyak pada setiap bulan – dengan bilangan responden yang menyimpan lebih RM500 sebulan meningkat kepada 33% (berbanding dengan 29% pada tahun 2023). Selain itu, 39% responden menyatakan mereka boleh bertahan selama empat bulan atau lebih sekiranya berlaku kehilangan pendapatan, meningkat daripada 33% pada tahun lepas. Akhir sekali, 47% rakyat Malaysia melaporkan keadaan kewangan yang lebih baik berbanding dengan tahun lepas.
Tinjauan itu juga menemukan dapatan bahawa ramai yang mengamalkan tabiat kewangan yang bertanggungjawab, mengurangkan perbelanjaan dan memulakan perancangan persaraan. Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel KWSP adalah untuk keperluan penting, seperti membayar balik hutang dan menguruskan kos sara hidup.
Meskipun terdapatnya peningkatan ini, 55% responden tetap berasa bimbang atau kecewa tentang kewangan mereka, sekali gus menekankan keperluan untuk disiplin kewangan yang berterusan. Walau bagaimanapun, dapatan ini menandakan titik perubahan yang berpotensi dalam kesejahteraan kewangan bagi kebanyakan rakyat Malaysia, yang diharapkan akan terus mengekalkan trajektori menaik pada masa hadapan.
“RMFLS 2024 mencerminkan kemajuan yang menggalakkan dalam kesejahteraan kewangan dan tahap celik huruf rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan wanita. Walau bagaimanapun, ketika kita bergerak ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, adalah penting untuk kita melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan alat yang tepat yang diperlukan oleh mereka bukan sahaja untuk terus bertahan, tetapi juga berkembang maju dalam dunia yang semakin digital ini," kata Yuen Tuck Siew, Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus.
“Di RinggitPlus, kami komited untuk membantu rakyat Malaysia menangani cabaran kewangan mereka yang tersendiri. Melalui kerjasama dengan rakan kongsi RMFLS kami, kami menyasarkan matlamat untuk mencipta kandungan yang berfokus, relevan dan tepat pada masanya yang dibentuk oleh cerapan daripada tinjauan, sekali gus mengembangkan jangkauan kami untuk mendidik lebih ramai rakyat Malaysia. Kami juga meningkatkan produk dan perkhidmatan kami untuk memacu keinklusifan dan pemerkasaan kewangan yang lebih kukuh di seluruh negara," jelas beliau.
Untuk maklumat lanjut mengenai Tinjauan Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2024, sila layari RinggitPlus atau saluran media sosial RinggitPlus (Instagram, Facebook dan TikTok).
0 Ulasan