Sultan Selangor berkenan terima permohonan ampun Sanusi

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: FB Selangor Royal Office


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Berikut adalah teks penuh warkah perkenan tersebut:

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Semoga Dato’ Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Dato’ Seri berkenaan kenyataan Dato’ Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah Beta pertimbangkan.

Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato’ Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu. Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya.

Di kesempatan ini Beta ingin menasihati Dato’ Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor. Beta tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin. Kelakuan dan tuturkata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Dato’ Seri.

Sebagai seorang pemimpin, Dato’ Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

Akhir sekali Beta berharap semoga Dato’ Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab.

Sekian.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”

“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ

SULTAN SELANGOR





















Catat Ulasan

0 Ulasan