Tingkat waspada ketika tempoh Fasa Peralihan Monsun

Gambar hiasan: Facebook


Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika tempoh Fasa Peralihan Monsun yang bermula minggu ini sehingga awal November.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkaa, semasa fasa tersebut, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. 

Menurut beliau, situasi tersebut boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. 

"Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

"Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorogi (MET Malaysia) melalui laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan. 

"Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan 1-300 22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Dalam perkembangan berkatan, Nik Nazmi berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil maklum kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini yang telah mengakibatkan banyak kes pokok tumbang, kejadian banjir dan kemusnahan harta orang awam akibat ribut terutamanya di kawasan utara negara. 

Beliau turut mengambil maklum laporan media yang menyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu adalah masih lagi efektif.

"Justeru, saya telah mengarahkan MET Malaysia untuk mengkaji semula SOP Penyediaan dan Penyebaran Maklumat/Nasihat/Amaran Cuaca supaya ia dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka akan menjadi ekstrem dan melampau.

"MET Malaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini," jelasnya.


JIWA MERDEKA




 

Catat Ulasan

0 Ulasan