"Mereka diindoktrinasi jadi 'bengap' bila masuk Bersatu" - Puad

 

Gambar: FB Puad Zarkashi


"Mereka diindoktrinasi jadi 'bengap' bila masuk Bersatu," kata Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam hantaran Facebook semalam.

Beliau mengulas tentang laporan polis yang dibuat oleh beberapa pemimpin Bersatu semalam kononnya UMNO diresapi ideologi komunisme ekoran kunjungan delegasi BN ke China baru-baru ini.

Mohd Puad berkata, lawatan tersebut adalah sempena 50 tahun hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

"Inilah masalah mereka yang masuk Bersatu. Mereka lupa Bersatu itu juga sekolah politik," jelasnya.

Mohd Puad juga kesal dengan tuduhan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kononnya beliau akan menyebarkan ajaran komunisme di DUN Johor.

Beliau memberitahu, delegasi BN dijemput khas ke China saban tahun hatta semasa Tan Sri Muhyidin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih bersama UMNO. 

"Buktikan siapa yang sudah jadi komunis?" soalnya.

Mohd Puad berkata, masalah Bersatu adalah parti itu mempunyai ramai 'balaci' tidak berilmu dan bercakap hentam keromo seperti Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin) sehingga menyebabkan Sahruddin terikut-ikut. 

Beliau mendakwa, para balaci Bersatu mungkin tidak tahu tentang kewujudan ribuan sekolah politik di China termasuk di majlis perbandaran dan dilengkapi hotel sehingga taraf lima bintang.

"Maka kebanyakan persidangan dan juga perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik ini. Bukan kita belajar ideologi komunis. 

"Tajuk dibincangkan ialah pemodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial," jelasnya.

Mohd Puad berkata, banyak perkara boleh ditiru seperti mempelajari teknik perkaderan dengan pengubahsuaian tanpa mengikut ideologi komunisme.

"Bahkan semasa lawatan ke Universiti Tsinghua (16 terbaik di dunia) dan HUAWEI, kita kagum teknologi AI, EV dan teknologi 'autonomous driving; yang dibangunkan di kota Shenzen. Tidak ada sekulit pun kelas ideologi komunis. 

"Maka tuduhan UMNO diresapi faham komunis apatah lagi menuduh saya mungkin menyebarnya di DUN Johor amat melampau," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa mereka membisu ketika Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghadiri persidangan di Iran ketika Aleppo, Syria diserang oleh Iran.

"Hatta lawatan Hadi itu dikritik oleh Dr Yusof Al-Qardawi dari Majlis Ulama Sedunia. Apakah Hadi wajar dituduh pro-Syiah?

"Muhyiddin dua kali ke Beijing. April 2011 dan November 2014. Mana mungkin setakat mendengar taklimat kejayaan ekonomi China sudah layak dituduh menerima ideologi komunis," katanya.


JIWA MERDEKA 




Catat Ulasan

0 Ulasan