Penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan 2025

 

Gambar hiasan rekaan ChatGPT

Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

"Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak," katanya.

Anwar berkata, kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati  40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion. 

"Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam," jelasnya.

Beliau memberitahu, sehingga kini, harga RON95 di Malaysia adalah RM2.05 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38) Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66). 

Anwar berkata, harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 pada 2023 mencecah RM20 bilion.

"Namun, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan. 

"Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. 

"Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat," katanya.

JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan