Gambar: FB Zahid Hamidi |
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran yang mencabar kedudukan dan kredibilitinya sebagai parti politik utama di negara ini.
Berikut adalah 16 isu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat:
1. Isu hubungan dengan DAP
UMNO menghadapi tekanan daripada penyokongnya berikutan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Kerjasama ini mencetuskan perasaan tidak selesa di kalangan akar umbi yang bimbang mengenai hala tuju perjuangan parti kerana kedua-dua parti mempunyai matlamat perjuangan jauh berbeza umpama langit dengan bumi.
2. Isu titah adendum
Ketidakupayaan UMNO untuk bertegas memastikan kerajaan melaksanakan titah adendum berhubung tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencetuskan kekecewaan dalam kalangan akar umbi.
3. Dilihat kurang bersungguh-sungguh membela nasib Najib
Penyokong setia UMNO masih kecewa dengan kegagalan parti memperjuangkan keadilan untuk Najib, terutamanya keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak meneruskan Himpunan Solidariti Bersama Najib di pekarangan Istana Keadilan, Putrajaya pada 6 Januari 2025.
4. Orang Melayu semakin menjauhi UMNO
Keputusan PRU15 dan pilihan raya enam negeri pada 2023 menunjukkan penurunan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, dengan ramai yang beralih kepada parti lain seperti PAS dan Bersatu. UMNO hilang pengaruh di negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Malah, UMNO tidak mempunyai walau satu kerusi pun di Terengganu.
5. Akar umbi kecewa dengan pucuk pimpinan
Kekecewaan akar umbi terhadap kepimpinan parti semakin ketara, lebih-lebih lagi apabila keputusan yang diambil pucuk pimpinan dilihat tidak seiring dengan kehendak mereka. Resolusi yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO hanya indah khabar dari rupa dan tidak dilaksanakan sepenuhnya walaupun UMNO mempunyai ramai menteri dalam kerajaan.
6. Kegagalan dasar Kerajaan Madani merugikan UMNO
Dasar-dasar Kerajaan Madani yang tidak popular, khususnya dalam menangani isu ekonomi, memberi kesan negatif kepada imej UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan. Rakyat semakin terhimpit akibat kenaikan harga barang dan pemansuhan subsidi yang telah sekian lama mereka nikmati sejak zaman Barisan Nasional (BN) dahulu.
7. Konflik dalaman parti
Pergolakan dalaman yang melibatkan puak-puak dalam parti mencerminkan kelemahan dalam struktur organisasi dan kepimpinan. Bukan rahsia lagi bahawa terdapat beberapa kem dalam UMNO dan masih ramai akar umbi yang setia menyokong Najib walaupub beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.
8. Pengaruh PAS dalam kalangan orang Melayu semakin kuat
PAS berjaya menampilkan diri sebagai pilihan utama orang Melayu, terutamanya melalui pendekatan yang lebih dekat dengan aspirasi agama dan budaya. Orang Islam juga semakin mual dengan kecaman melampau terhadap ulama PAS yang dilancarkan oleh tentera siber Kerajaan Perpaduan. Akibatnya, mereka semakin menjauhi UMNO yang semakin hilang taringnya dalam memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.
9. Sebahagian besar pucuk pimpinan tidak berkualiti
Pimpinan parti dikritik kerana kekurangan visi, integriti, dan kebolehan untuk membawa perubahan positif. Sebahagian besar pimpinan UMNO di peringkat MKT dan bahagian dilihat hanya tahu membodek pihak atasan sehingga menyebabkan mereka tidak mempedulikan keluhan dan rintihan akar umbi.
10. Suara kurang lantang dalam mempertahankan Melayu dan Islam
UMNO dilihat semakin kurang lantang dalam isu-isu melibatkan hak Melayu dan Islam, yang menyebabkan penyokong tradisinya hilang kepercayaan. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sering dilihat bersendirian dalam mempertahankan maruah Melayu dan kesucian Islam, termasuk isu sandwich ham yang masih panas ketika ini.
11. Golongan muda kurang berminat dengan UMNO
Generasi muda semakin menjauhi UMNO kerana persepsi bahawa parti ini gagal memahami aspirasi dan keperluan mereka. Situasi ini dapat dilihat dari segi keanggotaan sayap Pemuda dan Puteri yang semakin menyusut di peringkat cawangan.
12. Pertindihan tuntutan kerusi antara UMNO, PKR dan Amanah
Isu pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan boleh menimbulkan ketegangan antara UMNO dan rakan gabungannya, seterusnya boleh merugikan parti di medan pilihan raya. Pertindihan tuntutan dijangka berlaku di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Malah, Amanah pernah menuntut agar calon parti itu diberi laluan untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota walhal kerusi itu disandang UMNO.
13. Serangan daripada bekas-bekas pemimpin
Kritikan dan serangan terbuka daripada bekas pemimpin UMNO seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti. Jentera penerangan UMNO yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman dilihat kurang ampuh dalam menangani serangan mereka.
14. Lebih menjaga hati parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ketimbang akar umbi sendiri
UMNO sering dilihat terlalu mengutamakan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mengabaikan keperluan dan tuntutan penyokong setianya. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming, Tony Pua dan Woo Kah Leong berterusan mencetuskan kontroversi yang menggores perasaan akar umbi dan penyokong UMNO.
15. Budaya cah keting masih berleluasa
Budaya cah keting yang membarah dalam UMNO menyulitkan usaha untuk memperkukuh perpaduan dalaman. Pemimpin muda yang berpotensi untuk pergi jauh dicantas semata-mata kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza dengan pucuk pimpinan. Malah, ada yang dipecat seperti Shahril Hamdan dan Isham Jalil.
16. Semangat setiakawan dengan MCA dan MIC tidak seerat dahulu
Hubungan antara UMNO, MCA, dan MIC dalam BN kelihatan semakin renggang sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk. UMNO dilihat lebih menjadi hati DAP, PKR dan Amanah berbanding sahabat-sahabat lama mereka dalam BN. Malah, Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pernah melabelkan MCA dan MIC sebagai biawak hidup. Situasi ini boleh menjejaskan usaha untuk membentuk gabungan politik yang kukuh sekali gus merencatkan usaha mengembalikan BN sebagai gabungan politik yang dominan di Malaysia.
UMNO perlu segera menangani 16 cabaran ini dengan pendekatan yang bijaksana dan strategik. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja akan merosakkan peluangnya dalam PRU16, malah boleh menyebabkan parti tersebut tidak lagi relevan dalam landskap politik Malaysia.
Kemampuan UMNO kembali bangkit bergantung kepada kesediaannya untuk berubah, termasuk keberanian memilih barisan kepimpinan yang lebih mantap dan berwibawa, demi memenuhi aspirasi rakyat, terutamanya orang Melayu, yang menjadi tunggak sokongannya selama ini.
Check out ISLAMIC AUDIO DEVICE MOMMYHANA | OMAR HANA | White Noise | Radio Quran | Radio Zikir for RM129.00 - RM639.00. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/8AGabkdTlg?share_channel_code=1 |
0 Ulasan