Pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang bakal menjadi medan ujian penting bagi semua parti politik utama di negeri tersebut.
Dinamika politik Sabah yang unik sering kali memberikan keputusan yang sukar diramal, dengan faktor-faktor etnik, wilayah, dan sentimen tempatan memainkan peranan besar dalam menentukan arah sokongan pengundi.
Situasi semasa menunjukkan bahawa pertembungan utama akan melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan gabungan pembangkang lain.
Masing-masing akan berusaha untuk menarik sokongan pengundi melalui pelbagai isu seperti pembangunan infrastruktur, hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi pentadbiran.
Setakat ini masih belum ada kepastian mengenai pakatan pilihan raya yang bakal dibentuk. GRS dan Warisan yang berseteru tidak mungkin berada di pihak yang sama.
BN dan PH berkemungkinan besar bertanding sebagai satu pasukan bagi meneruskan kesinambungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Terdapat dua pakatan pilihan raya utama yang mungkin dibentuk iaitu GRS+PH+BN atau Warisan+PH+BN.
PAS pula telah memberi bayangan akan bertanding pada PRN Sabah namun parti itu dijangka belum berupaya memberi kesan yang besar dalam gelanggang politik Negeri Di Bawah Bayu.
Selain itu, salah satu isu utama yang dijangka mempengaruhi PRN ini adalah persoalan tentang kepimpinan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menghadapi tekanan untuk mengekalkan kestabilan politik dalam GRS sambil memastikan rakyat Sabah terus menyokong kerajaan negeri.
Cabaran lain datang daripada parti-parti seperti Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, yang terus menekankan isu-isu berkaitan hak Sabah dan dasar ekonomi yang inklusif.
Penyertaan PH sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan turut memberikan cabaran tersendiri kepada PRN ini. PH dijangka menumpukan perhatian pada isu-isu seperti reformasi pentadbiran, hak autonomi Sabah, dan pemerkasaan ekonomi rakyat.
Peranan pengundi muda juga tidak boleh dipandang remeh. Dengan pertambahan jumlah pengundi hasil daripada pelaksanaan Undi18, landskap politik Sabah mungkin berubah.
Generasi muda yang lebih peka terhadap isu-isu semasa seperti perubahan iklim, peluang pekerjaan, dan kebebasan bersuara mungkin membawa dimensi baharu kepada pilihan raya ini.
Hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan juga akan menjadi faktor penting. Rakyat Sabah mahukan kepastian bahawa kerajaan negeri mampu bekerjasama dengan Putrajaya untuk memastikan hak-hak Sabah dihormati dan pembangunan negeri dipercepatkan.
Namun, pada masa yang sama, sentimen autonomi yang kuat juga boleh mendorong pengundi untuk menyokong parti-parti yang lebih lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.
Kehadiran PH dalam Kerajaan Perpaduan memberikan kelebihan kepada GRS dan BN untuk menonjolkan kerjasama yang lebih kukuh dengan kerajaan persekutuan, tetapi pada masa yang sama, ia membuka ruang kritikan daripada pembangkang mengenai isu ketelusan dan keberkesanan.
Isu ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan minyak, juga dijangka menjadi fokus utama. Sabah yang bergantung pada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan utama telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Pemulihan ekonomi yang tidak sekata dan isu pengagihan royalti minyak terus menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin politik.
PH dan Kerajaan Perpaduan mungkin menggunakan platform ini untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap penyelesaian isu ini melalui pendekatan dasar yang lebih menyeluruh.
Strategi berkempen juga dijangka berubah dengan penggunaan media sosial dan platform digital yang lebih meluas.
Pendekatan tradisional seperti ceramah dan perjumpaan di peringkat kampung masih relevan, tetapi capaian media sosial memberikan kelebihan kepada calon yang memahami cara berinteraksi dengan pengundi secara maya.
PRN Sabah yang bahangnya semakin terasa bakal menjadi cerminan arah tuju politik negeri tersebut. Parti yang berjaya memahami aspirasi rakyat Sabah dan menawarkan penyelesaian yang realistik akan berpeluang untuk memenangi hati pengundi.
Walau bagaimanapun, dengan landskap politik yang kompleks dan dinamik, keputusan PRN ini mungkin terus mencerminkan ketidaktentuan politik Sabah.
0 Ulasan