Perubahan terma tawaran pengambilan MAHB cetus persoalan - PAS

 


Berikut adalah kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini:

Perubahan terma tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Gateway Development Alliance, yang diketuai oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib dipandang dengan serius. 

Perubahan ini, termasuk penurunan ambang penerimaan daripada 90% kepada 85% dan lanjutan tarikh tutup tawaran, menimbulkan persoalan mengenai integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

Tindakan mengubah syarat tawaran di pertengahan proses adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam pengambilalihan di Malaysia. 

Lebih mencurigakan apabila tiba-tiba tarikh untuk menarik balik tawaran menjadi lebih singkat iaitu pada 28 Januari. 

Persoalannya, kenapa pihak berkuasa seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dilihat seolah-olah membiarkan perkara ini berlaku tanpa tindakan tegas? 

Ini menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ketelusan dan keadilan pasaran modal negara.

Sebagai institusi awam yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan rakyat, Khazanah dan KWSP sepatutnya menunjukkan standard tadbir urus korporat yang tinggi. 

Namun, tindakan mereka dalam isu ini mencerminkan sebaliknya dan boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi ini.

Kita kesal dengan sikap kerajaan yang tidak proaktif dalam memastikan proses pengambilalihan ini berjalan dengan telus dan adil.

Kegagalan kerajaan untuk memantau dan mengawal selia perubahan terma tawaran ini menunjukkan kelemahan dalam melindungi kepentingan pemegang saham minoriti dan integriti pasaran secara keseluruhan.

Pihak berkuasa yang berkaitan digesa untuk segera campur tangan dan memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

Kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap integriti pasaran modal negara.


BACA LAGI



Check out Aglio olio herbs (45gm) for RM10.00. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/5VFrGqXAnB?share_channel_code=1 




Catat Ulasan

0 Ulasan