Syarikat yang terbabit dalam kontroversi sandwich ham, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd mengesahkan bahawa bahan yang digunakan dalam sandwich tersebut adalah roti, keju dan kepingan daging ayam.
Shake and Bake juga mendakwa, kepingan daging ayam yang digunakan dalam sandwich tersebut mempunyai sijil halal yang sah daripada JAKIM.
"Kami juga mengesahkan bahawa pada 10.01.2025, jam 12.00 tengahari, pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Wilayah Persekutuan Putrajaya (KPDN) bersama pihak JAKIM telah datang ke kilang dan kini dalam siasatan pihak KPDN dan JAKIM.
"Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan JAKIM dalam siasatan ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Isnin lalu, JAKIM menyatakan, produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Sebelum ini, KK Mart dilaporkan membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk sandwich itu yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
0 Ulasan