Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin digesa menunaikan janjinya untuk meletak jawatan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tidak mengelirukan dewan ketika membangkitkan isu kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam transaksi jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, keputusan itu membuktikan KWSP sememangnya mengalami kerugian dalam transaksi tersebut dan Zhemin perlu menunaikan janjinya bagi menjaga integriti Parlimen.
“Sebelum ini, beliau menuduh Ka Siong berbohong dan berjanji akan meletak jawatan jika KWSP mengalami kerugian walau satu sen. Kini, apabila terbukti kenyataan Ka Siong benar, beliau perlu mengotakan janjinya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Zhemin mengusulkan agar Ka Siong dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan mengelirukan dewan mengenai kerugian KWSP dalam transaksi saham MAHB.
Bagaimanapun, selepas Ka Siong memberikan penjelasan terperinci dalam jawapan bertulis setebal tujuh muka surat, Johari memutuskan bahawa beliau tidak bersalah.
Sian See turut mengkritik alasan Zhemin bahawa "tidak rugi selagi tidak jual", yang seolah-olah menggambarkan KWSP tidak perlu mengeluarkan dana tambahan untuk membeli semula saham pada harga lebih tinggi.
“Semakin lama saham tidak dijual, semakin besar kerugian kerana kos modal tetap berjalan,” ujarnya.
Sehubungan itu, desakan semakin meningkat agar Zhemin menepati janjinya dengan meletak jawatan.
0 Ulasan