UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas dalam siasatan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan hari ini berkata, UMNO memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes tersebut.
Menurut beliau, SPRM harus diberi ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.
"UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat," katanya.
SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap Ismail Sabri berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dalam operasi penggeledahan di beberapa lokasi, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa wang tunai dan jongkong emas tersebut ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan 'safe house' oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta yang kesemuanya adalah sah dan aktif.
Rakaman keterangan Ismail Sabri yang dijadualkan semalam telah ditangguhkan atas faktor kesihatan beliau.
0 Ulasan