Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan bila Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin akan bersara selepas gagal membuktikan bahawa beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ka Siong berkata, usul Zhemin untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menyatakan bahawa tiada asas prima facie terhadap dakwaan tersebut.
"Isu ini telah terbukti saya tidak mengelirukan Dewan. Namun, Zhemin nampaknya masih tidak berpuas hati dan mahu mencabar keputusan Speaker.
"Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Kampar gagal. Tahun lepas, usul beliau mengenai kos PADU juga ditolak. Tahun ini, isu penjualan saham MAHB oleh KWSP, gagal lagi. Tahun depan apa pula?" katanya dalam hantaran Facebook, semalam.
Beliau turut menyindir Zhemin yang menurutnya lebih banyak menumpukan perhatian terhadap dirinya berbanding tugas sebagai wakil rakyat.
"YB Kampar ini dibayar untuk jadi Ahli Parlimen Hal Ehwal Wee Ka Siong ke?
"YB Kampar, bila mahu bersara?" sindirnya.
0 Ulasan