Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendakwa, sikap tidak tegas Kerajaan Madani dalam menangani isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) telah mencetuskan kemarahan rakyat.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pendakwaan terpilih serta kelewatan bertindak terhadap penghinaan agama semakin menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini.
Menurutnya, DUPP tidak bermaksud untuk membela tindakan beberapa DJ radio yang didakwa mengeluarkan kenyataan sensitif baru-baru ini, namun mempersoalkan mengapa pemimpin kerajaan hanya sekarang bersuara mengenai isu 3R.
“Sedangkan sebelum ini, beberapa isu sensitif telah dibangkitkan oleh menteri dalam Kerajaan Madani sendiri, tetapi tiada tindakan diambil.
“Lebih menghairankan, tindakan pantas dikenakan terhadap DJ radio berkenaan, tetapi apabila Islam dihina oleh pihak tertentu, kerajaan tidak bertindak setangkas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, penghinaan terhadap Islam bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah turut dianggap sebagai penghinaan terhadap negara dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di Malaysia.
Ahmad berkata, DUPP turut melahirkan rasa kecewa dengan pendekatan kerajaan dalam menangani isu 3R yang disifatkan tidak mencerminkan kesungguhan sebenar.
“Lebih mengecewakan apabila kerajaan lebih mengutamakan frasa ‘perpaduan’, ‘toleransi’ dan ‘tolak ansur’ berbanding membela agama Islam.
"Jika tidak mampu mempertahankan Islam, gantikan sahaja kemeja dengan kain kafan,” katanya.
0 Ulasan