ADUN PAS Semenyih nafi kunjungi kuil untuk upacara keagamaan

 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menjelaskan bahawa kunjungannya ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam semalam bukan bertujuan menyertai sebarang upacara keagamaan, sebaliknya untuk menyantuni masyarakat beragama Hindu di kawasan yang diwakilinya.  

Menurut beliau, kehadirannya ke rumah ibadat tersebut adalah sebahagian daripada usaha mendekati dan mendengar sendiri keperluan komuniti setempat yang turut menjadi sebahagian daripada warga Semenyih.  

“Sebahagian besar masa lawatan saya dihabiskan untuk berdialog dan mendengar sendiri harapan mereka serta perancangan pihak kuil untuk komuniti setempat.  

“Ia ruang yang amat penting untuk membina kefahaman dua hala, jauh daripada prejudis atau tanggapan luar,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.  

Nushi turut memaklumkan bahawa beliau diberikan selendang kuning cair (ponnadai) dan kalungan bunga sebagai simbol sambutan serta persahabatan, satu kebiasaan dalam budaya masyarakat India, khususnya komuniti Tamil.  

“Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual, dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan, seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara,” ujarnya.  

Beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS menekankan bahawa sikap saling mengenal dan saling memahami dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama adalah asas kepada keharmonian dan perpaduan negara.  

“Saya percaya, masyarakat majmuk seperti kita hanya akan kuat bila ada ruang untuk saling mengenal, saling faham dan saling menghormati.  

“Bila wakil rakyat dekat dengan rakyat—tanpa mengira kaum atau agama—itulah bibit kepada negara yang benar-benar bersatu.  

“Semoga langkah kecil ini menyumbang kepada iklim Semenyih yang harmoni dan saling percaya,” katanya.

BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan