JPN tidak lulus permohonan dokumen pengenalan diri sewenang-wenangnya

 


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan meluluskan sebarang permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya, termasuklah jika permohonan itu disertakan surat sokongan daripada mana-mana pihak.  

Menurut kenyataan media JPN hari ini, kelulusan hanya akan diberikan selepas melalui proses semakan fakta dan dokumen serta siasatan latar belakang yang menyeluruh terhadap setiap pemohon.  

“Sebarang surat sokongan, minit cadangan atau permohonan daripada mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, tidak memberi sebarang jaminan automatik terhadap kelulusan sesuatu permohonan.  

“Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat seperti semakan fakta dan dokumen serta siasatan latar belakang pemohon,” jelas kenyataan itu.  

JPN membuat penjelasan itu susulan penularan sekeping surat bertarikh 26 April 2019 yang didakwa mengandungi minit daripada Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal berkaitan sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Semporna. 

JPN menjelaskan, semua permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang sedang berkuat kuasa.  

“Semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990,” menurut kenyataan itu lagi.  

JPN turut menerangkan bahawa MyKAS merupakan dokumen pengenalan diri bagi Pemastautin Sementara yang hanya diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan.  

“MyKAS tidak memberikan sebarang kelebihan dari sudut kewarganegaraan. Pemegang MyKAS perlu memenuhi syarat-syarat ketat sebelum boleh memohon status MyPR (Pemastautin Tetap) dan seterusnya MyKAD (Warganegara), bergantung kepada tempoh permastautinan dan kelayakan yang ditetapkan.  

“Walau bagaimanapun, bagi pemegang MyKAS yang diluluskan secara bertempoh setiap lima tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal usul mereka juga, seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu.  

JPN juga memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri.  

Sebarang maklumat lanjut dan sahih boleh diperoleh dengan hadir ke mana-mana pejabat JPN, melayari laman sesawang rasmi atau mengikuti saluran media sosial rasmi jabatan itu.

Catat Ulasan

0 Ulasan