Alasan tolak sewa dewan untuk majlis hari raya tak munasabah - Pemuda PAS Pahang

 


Dewan Pemuda PAS Pahang kesal dengan tindakan pentadbiran Felda menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad untuk menyewa Dewan Semai Bakti Felda Keratong atas alasan aktiviti politik.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, insiden itu memperlihatkan sikap berat sebelah dan kemunafikan yang semakin ketara dalam pentadbiran UMNO di negeri ini.

Menurut beliau, saban tahun pemimpin Perikatan Nasional (PN) di negeri ini sentiasa menganjurkan program rumah terbuka Aidilfitri sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Namun amat dikesali, tahun ini permohonan ADUN Bukit Ibam untuk menyewa Dewan Semai Bakti Felda Keratong 3 sekali lagi ditolak dengan alasan kononnya ‘aktiviti politik’. 

"Alasan ini amat tidak munasabah memandangkan tidak sampai dua bulan lalu, UMNO secara terbuka telah menggunakan dewan yang sama untuk mengadakan program atas nama parti politik mereka – tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Azlan turut mempersoalkan keadilan yang dilaungkan oleh UMNO, serta menyifatkan tindakan berkenaan sebagai cerminan mentaliti lapuk yang tidak menghormati prinsip demokrasi.

“Adakah ini definisi keadilan yang diperjuangkan oleh UMNO Pahang? Atau mereka masih berpegang kepada mentaliti lapuk ‘ini kerajaan kami, ikut suka kamilah’?” soalnya.

Katanya lagi, lebih memalukan apabila dewan yang dimaksudkan bukan milik mana-mana parti, sebaliknya dibina menggunakan dana awam hasil usaha warga Felda termasuk yang tidak menyokong UMNO.

“Ia adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan akses kepada kemudahan awam seperti ini bersifat inklusif dan adil.

“Perlakuan seperti ini jelas menunjukkan wujudnya amalan dua darjat, satu sikap tidak demokratik yang menindas suara dan kehadiran wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui pilihan raya,” katanya.

Beliau menyifatkan retorik perpaduan yang dilaungkan UMNO hanya menjadi topeng kepada ketaksuban politik dan menyeru rakyat untuk bangkit menolak sikap hipokrit dalam pemerintahan.

“Saya menyeru agar rakyat membuka mata terhadap kemunafikan yang sedang berlaku. Sikap cakap tak serupa bikin ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Demokrasi mesti ditegakkan, hak rakyat perlu dipertahankan.

“Dan kerajaan UMDAP yang mengamalkan politik dendam ini mesti ditumbangkan dalam PRU-16 akan datang,” katanya.

Beliau yakin, dengan usaha dan sokongan rakyat, Perikatan Nasional mampu mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada pilihan raya akan datang.

“Saya ulang – rakyat tidak harus berdiam diri apabila keadilan terus dipermainkan. Dengan tekad dan iltizam yang tinggi, saya yakin dengan izin Allah tiada apa yang mustahil untuk PAS dan Perikatan Nasional Teraju Pahang pada PRU-16,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan