Pemuda Amanah Perak bertanya mengapa suara lantang DAP Melaka tidak kedengaran semasa timbul isu pemandu mabuk meragut nyawa rakyat di jalan raya.
Naib Ketuanya, Shafiq Ariffin berkata, sebaliknya apabila golongan muda bermotosikal kononnya membuat bising, mereka dengan mudah menuding jari.
Namun, menurut beliau, apabila keselamatan rakyat terancam akibat kecuaian pihak lain, suara mereka tidak kedengaran.
"Justeru, Pemuda Amanah menyeru agar semua pihak, termasuk rakan dalam Kerajaan Perpaduan, mengambil pendekatan lebih seimbang. Jangan hanya tahu membantah, tetapi tidak hadir dengan solusi.
"Kita mesti masuk ke dalam kelompok ini dan bantu membina naratif sihat serta ruang ekspresi yang selamat, bukan menutup pintu dan menjauhkan mereka lebih jauh dari sistem," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shafiq menambah, Pemuda Amanah Negeri menghormati pandangan dan kebimbangan yang dizahirkan DAP Melaka terhadap penganjuran RXZ Members Ride 3.0.
Namun, beliau memberitahu, dalam mendepani isu tersebut, DAP Melaka tidak boleh terlalu reaktif hingga mengabaikan sudut pandang yang lebih besar iaitu bagaimana kerajaan dan parti politik menyantuni segmen anak muda yang memiliki minat dan gaya hidup berbeza daripada generasi sebelumnya.
"Program seperti RXZ Members Ride bukanlah acara mingguan atau bulanan. Ia jarang berlaku, dan apabila dianjurkan dengan kerjasama agensi berkaitan, ia sebenarnya mampu menjadi platform untuk mendekati ribuan anak muda yang selama ini mungkin jauh daripada kegiatan rasmi kerajaan.
"Malah, jika ditangani dengan pendekatan yang betul, ia boleh menjadi ruang menyampaikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya, pendaftaran pemilih, pendidikan sivik dan nilai patriotisme," jelasnya.
Shafiq mengakui ada kelemahan dalam pelaksanaan program tersebut tetapi jangan sampai menghukum keseluruhan komuniti permotoran hanya kerana segelintir yang tidak mematuhi undang-undang.
"Sepatutnya, yang ditekankan adalah aspek kawalan dan pemantauan, bukan menolak terus acara tersebut," katanya.

0 Ulasan