Mat Sabu mahu siasatan terperinci kesan punca kebakaran paip gas Putra Heights

 


Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu mahu siasatan terperinci dan telus dijalankan bagi mengesan punca insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Selangor semalam.  

Menurut beliau, langkah keselamatan juga perlu diperketatkan bagi mengelakkan insiden itu berulang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, kejadian tersebut bukan sahaja menggemparkan negara, malah menyukarkan kehidupan penduduk setempat apabila lebih 100 orang mengalami kecederaan termasuk kanak-kanak, selain ratusan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan serius.  

“Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam dan solidariti penuh terhadap semua mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya semalam.  

“Semalam dan pagi ini, saya telah dapat menghubungi pihak berkuasa dan wakil-wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci. 

"Semalam juga saya telah mengarahkan staf Parlimen Kota Raja untuk turun padang mendapatkan maklumat kejadian dan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Mohamad turut menyambut baik komitmen segera Perdana Menteri dalam memberi jaminan pembaikan menyeluruh kepada infrastruktur yang rosak serta tanggungjawab terhadap kebajikan mangsa.  

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen yang berjiran dengan kawasan Kota Raja yang turut sama turun padang, serta semua agensi kerajaan khususnya bomba, polis, petugas perubatan, dan pihak berkuasa tempatan yang telah bertindak pantas menyelamatkan mangsa dan mengawal keadaan daripada menjadi lebih parah.  

“Saya menyeru semua pihak agar terus bertenang, mematuhi arahan keselamatan, dan sentiasa menjaga kebajikan sesama jiran dalam menghadapi musibah ini,” katanya.  

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang sedang dirawat segera diberi kesembuhan serta masyarakat diberi kekuatan untuk bangkit bersama.

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan