UMNO akan tetap mempertahankan Islam dan Melayu walaupun tindakan itu menyebabkan pihak tertentu tidak menyokongnya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, UMNO tidak pernah beretorik mengenai agenda agama, bangsa dan raja-raja Melayu.
"Bukan seperti pemikiran kamu yang hanya menunggang untuk meraih undi," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Urimai, P. Ramasamy bahawa dominasi UMNO terutamanya dalam soal kaum dan agama telah menghakis pengaruh MCA dan MIC dalam kalangan kaum lain.
Dr. Akmal menambah, UMNO tidak berkompromi mengenai agama, bangsa dan raja-raja Melayu walau dengan siapa pun parti itu bersekutu.
Menurut beliau, perkara itu membezakan UMNO dengan parti-parti lain.
"Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan yang menyebabkan kamu tidak mahu menyokong UMNO, silakan kami pun tidak kisah!!
"Ini negara yang agama Persekutuannya adalah agama Islam dan hak-hak orang Melayu termaktub dalam Perlembagaannya, maka tolong hormat perkara tersebut sebelum mahu kami hormat kamu!" tegasnya.

0 Ulasan