Puad minta Tun Mahathir bersara terus

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar bersara sepenuhnya daripada politik susulan kekalahan teruk beliau di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Menurut beliau, Dr. Mahathir patut berbuat demikian sekiranya benar-benar mendengar suara rakyat setelah hilang wang deposit.

“Tetapi kerana dia disucikan oleh PAS maka dia masih bernafsu walaupun tidak memiliki satu nombor pun,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mengulas penyertaan bekas Perdana Menteri itu dalam perhimpunan Turun Anwar di ibu negara kelmarin, Mohd. Puad menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak relevan kerana Dr. Mahathir sendiri pernah ditolak oleh partinya dan kini tidak mempunyai sebarang kekuatan politik.

“Di perhimpunan ‘Turun Anwar’ Sabtu lalu, Tun M berkata ‘Saya pun turun kerana ditolak oleh partinya sendiri’,” katanya.

Namun jelasnya, Dr. Mahathir lupa bahawa beliau sebelum ini diturunkan oleh tiga individu yang kini berada di sisinya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi Langkah Sheraton.

“Kedua, dia diturunkan oleh ‘a game of numbers’. Mahathir kehilangan nombor. Dia terpaksa, bukan dipaksa. Kalau dia masih memiliki nombor dia tidak akan turun,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat, tokoh itu sendiri pernah mengumumkan pengunduran dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi membatalkan hasrat tersebut selepas dipujuk.

“Dia pernah umum berundur di Perhimpunan Agung UMNO. Tetapi oleh kerana Rafidah menangis, ‘Why? Why? Why?’ Dia tidak turun,” ujarnya.

Namun, selepas memerintah selama 22 bulan pada penggal kedua, Dr. Mahathir akhirnya terpaksa melepaskan jawatan kerana sudah tidak lagi memiliki sokongan.

“Itu pun Tun Mahathir berusaha supaya dia dilantik ‘Perdana Menteri protem’,” katanya.

Mengulas dakwaan Dr. Mahathir kononnya kehadiran 20,000 orang dalam himpunan tersebut adalah suara rakyat, Mohd. Puad mengingatkan bahawa pada 1998, jumlah yang lebih besar pernah berkumpul mendesak beliau berundur, namun tidak diendahkan.

“Tetapi tahun 1998 di lokasi sama puluhan ribu rakyat berdemo mendesak Tun M berundur. Kenapa tidak letak jawatan?” soal beliau.




Catat Ulasan

0 Ulasan