Nga Kor Ming patut minta maaf sebar video fitnah rakyat

 

Naib Ketua Pemuda MCA, Tan Yang Pang menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memohon maaf kerana menyebarkan sebuah video yang disalah tafsir sehingga menimbulkan fitnah terhadap orang awam yang tidak bersalah.

Menurut beliau, Kor Ming telah bertindak tidak bertanggungjawab apabila mendakwa para peserta Himpunan Turun Anwar menerima bayaran RM200 untuk hadir, sedangkan beliau sendiri tidak mengesahkan kesahihan video berkenaan sebelum menularkannya.

“Akhirnya, Kor Ming seolah-olah terkena ludah sendiri apabila laporan media mendedahkan bahawa video tersebut diambil pada 5 Julai dan menunjukkan pemenang pertandingan memancing berkongsi hadiah wang. 

"Maka, ia langsung tiada kena-mengena dengan Himpunan Turun Anwar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yang Pang berkata, perbuatan menyebarkan maklumat tidak benar demi kepentingan politik adalah satu tindakan yang memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh seorang menteri Kabinet.

Tambah beliau, sebelum ini Kor Ming juga dilihat mengugut akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu skandal MyKiosk dengan alasan fitnah, walaupun ramai hanya meminta penjelasan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Kor Ming menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada individu-individu dalam video berkenaan serta seluruh rakyat.

"Beliau juga wajar memohon maaf kepada semua individu dalam video tersebut, dan juga kepada seluruh rakyat kerana telah mengelirukan mereka dengan tuduhan palsu,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan