Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar kesal terhadap tindakan seorang ahli politik yang didakwa tidak menghormati kedudukan doa sebagai senjata agama dalam satu perhimpunan awam di ibu negara baru-baru ini.
Menurut beliau, kandungan doa yang dibacakan dalam perhimpunan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah mengandungi unsur yang boleh memecahbelahkan hubungan sesama umat Islam serta tuduhan tidak berasas terhadap barisan kepemimpinan negara.
“Kandungan doa tersebut amat membimbangkan kerana ia boleh mendorong tindakan ekstremisme dan radikalisme dalam kalangan masyarakat awam,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau menegaskan bahawa doa adalah penghubung rohaniah antara hamba dan Allah SWT serta merupakan jalan untuk memohon keampunan, kemudahan urusan hidup dan kekuatan ummah dalam menghadapi cabaran dunia.
“Sesungguhnya, doa sebagai senjata bagi setiap mukmin adalah penghubung keutuhan hubungan rohaniah hamba dengan Allah SWT selaku Pencipta Yang Maha Agung.
“Doa juga adalah jalan bagi memohon kerahmatan Ilahi agar diberi keampunan terhadap kelalaian insan, kemudahan dalam segala urusan kehidupan serta mengukuhkan kekuatan ummah dalam berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran di dunia ini,” katanya.
Mohd. Na’im turut menyeru masyarakat supaya berwaspada terhadap pihak yang memperalatkan doa secara sempit demi kepentingan diri atau kumpulan tertentu.
“Umat Islam mesti memperteguhkan kesedaran agama dan penghayatannya yang syumul bagi berdepan dengan pelbagai dakyah licik dan halus menggunakan imej serta unsur agama oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk melemahkan kekuatan yang dicapai oleh negara pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan nilai Islam berasaskan prinsip kesederhanaan serta memerangi fahaman ekstrem dan radikal yang mengancam perpaduan ummah.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berusaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan nilai Islam yang sebenar berasaskan prinsip kesederhanaan, meninggikan syiar Islam serta memerangi penularan pemikiran ekstrem dan radikal yang boleh mengugat kerukunan perpaduan ummah dan kesejahteraan negara.
“Kami juga akan terus komited mengukuhkan dasar Malaysia MADANI yang bermatlamat membina negara yang berteraskan kekuatan nilai-nilai sejagat demi membina bangsa Malaysia yang mampan dan makmur dalam segenap segi kehidupan dan ketamadunan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
0 Ulasan