Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan kerajaan merampas harta milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, walaupun beliau telah meninggal dunia.
Beliau turut menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesalahan yang dilakukan oleh Allahyarham sehingga namanya terus diburukkan secara terbuka.
“Datuk Seri Anwar perlu terang dengan jelas apakah kesalahan Tun Daim sehingga usaha merampas dan memburukkan namanya berterusan walaupun dia telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, hanya mahkamah berhak menghukum selepas melalui proses perbicaraan, bukannya Perdana Menteri.
“Yang boleh hukum ialah mahkamah selepas perbicaraan. Perdana Menteri tidak ada hak menjatuh hukum.
“Kalau hanya diragukan oleh Perdana Menteri, merampas harta tidak boleh dilaku. Itu salah dari segi undang-undang. Rampasan itu sama dengan mencuri,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun nama tidak disebut secara langsung, harta yang dirampas sememangnya milik Allahyarham Daim, dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mempertikai tindakan kerajaan.
“Tun Daim sudah tidak ada. Oleh itu, beliau tidak dapat pertahan diri. Kerana itu Kerajaan Anwar dapat menuduh dengan selamat,” katanya.
Mengulas kekayaan Allahyarham, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa Daim sudah pun kaya sebelum dilantik menjadi menteri dan menyerahkan perniagaannya ketika menyertai kabinet.
“Semasa jadi menteri beliau dalam proses menyerah perniagaannya kepada pihak lain. Tetapi apabila ia tidak lagi jadi menteri, ia kembali berniaga.
“Untuk tidak dituduh mendapat keistimewaan, ia berniaga di luar negara. Tidak pula ada skandal apa-apa di negara di mana ia bergiat,” jelasnya.
Tambahnya, jika pihak luar tidak meragui atau menuduh apa-apa terhadap Daim, tidak sepatutnya Perdana Menteri Malaysia membuat tuduhan dan menjatuhkan hukuman.
“Kabinet juga tidak ada hak menghukum,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan motif rampasan harta di luar negara kononnya demi rakyat, serta mempersoalkan peruntukan undang-undang yang membenarkan tindakan tersebut.
“Konon nak bawa balik duit Tun Daim untuk rakyat. Undang-undang apa yang memberi hak kepada Kerajaan Malaysia merampas harta rakyat Malaysia di luar negara untuk apa tujuan pun,” soalnya.
Sebaliknya, Dr. Mahathir mendakwa kerajaan sekarang menyaksikan kroni Perdana Menteri diberi kontrak bernilai berbilion ringgit.
“Ada pula orang yang sedang dituduh seleweng duit kerajaan yang tiba-tiba ditarik balik tuduhan.
“Kalau ini bukan rasuah, apakah makna rasuah,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal nepotisme dalam pentadbiran apabila anak Perdana Menteri diberi jawatan tanpa melalui proses biasa.
Dr. Mahathir menyifatkan Anwar tidak layak mendabik dada sebagai pejuang anti-rasuah sekiranya turut merestui amalan yang sama.
“Sudah-sudahlah mendabik dada sebagai pejuang rasuah. Awak sendiri merestui rasuah, nepotisme dan kronisme,” tegasnya.
0 Ulasan