Bendera terbalik: PDRM siasat 4 individu

 

Gambar: FB MPPn

Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengesahkan empat individu disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik semalam.

Menurut MPPn, mereka terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki.

"Pihak premis telah melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil 45, Pengibaran Bendera, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019," katanya dalam kenyataan media semalam.

Insiden yang berlaku di Pusat Perdagangan Pontian, Johor itu mulai tular sejak semalam dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. 

MPPn menambah, hasil semakan langsung di lapangan mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku dengan menggantung pada tingkap aras 2 bahagian dalam premis berkenaan. 

Walau bagaimanapun, katanya, setiba di premis didapati klinik tersebut telah tamat waktu operasi dan pihak MPPn dan PDRM  menghubungi pekerjanya untuk datang ke lokasi kejadian serta-merta. 

"Wakil pekerja telah hadir ke lokasi dan tindakan pembetulan telah dilaksanakan serta-merta oleh pekerja yang sama memasang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik.

"Tindakan pembetulan dilaksanakan serta-merta terhadap bendera Malaysia yang terbalik dan kedudukan di antara bendera Johor dan Malaysia juga diperbetulkan dengan arahan serta pemantauan bersama pihak MPPn dan juga pihak PDRM," jelasnya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan