Dakwaan penyokong Pakatan Harapan (PH) kononnya lonjakan hutang negara berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai fitnah besar.
Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berkata, jawapan Parlimen semalam memberi gambaran paling jelas mengenai untung rugi 1MDB setakat ini.
“Kerajaan sudah berjaya mendapatkan semula RM29.7 bilion dana 1MDB. Daripada jumlah itu, RM26.73 bilion telah digunakan dan ditambah dengan pinjaman kerajaan sebanyak RM15.44 bilion untuk membayar hutang pokok dan faedah berjumlah RM42.17 bilion setakat 31 Julai 2025,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurutnya, baki hutang 1MDB kini hanya RM5 bilion manakala baki dana belum digunakan daripada pulangan ialah RM3 bilion.
“Ini bermaksud, walaupun tiada lagi dana dipulangkan selepas ini (sedangkan berbilion lagi masih dalam proses pemulangan), kerajaan hanya perlu menambah RM2 bilion lagi bagi menyelesaikan baki hutang RM5 bilion yang matang pada 2039. Maka, impak maksimum kepada dana kerajaan ialah RM17.44 bilion.
“Namun, selepas kerajaan menjual projek Bandar Malaysia (GDV RM140 bilion) kepada Petronas pada harga RM12 bilion tahun lepas, impak maksimum itu turun kepada RM5.44 bilion,” jelasnya.
Eric berkata, daripada pinjaman RM5.44 bilion itu, kerajaan masih memiliki baki aset bernilai tinggi 1MDB seperti lapan pangkalan pertahanan baharu atau dinaik taraf termasuk pangkalan TUDM terbesar di Sendayan; Projek TRX bernilai RM40 bilion; tanah di Pulau Pinang bernilai RM2 bilion; tanah di Pulau Indah bernilai RM500 juta; serta sistem terowong bawah tanah sepanjang 5 kilometer bernilai RM3 bilion yang mampu mengurangkan kesesakan trafik di Kuala Lumpur sehingga 30 peratus.
“Jadi, soalnya sekarang, dengan kiraan ini – kerajaan untung atau rugi dengan 1MDB? Jawapannya ialah sudah tentu untung besar. Kalau nak bina Kota Madani pun perlukan kos RM4 bilion. Jadi bayangkan impak maksimum RM5.44 bilion yang boleh menghasilkan aset-aset di atas itu,” katanya.
Beliau menegaskan, sejak Pilihan Raya Umum ke-14, hutang langsung kerajaan melonjak sekitar RM620 bilion, termasuk kira-kira RM240 bilion yang ditambah hanya dalam tempoh pentadbiran Madani.
0 Ulasan