"Masa kamu pembangkang dulu, lagi banyak langgar arahan polis" - Akmal balun DAP

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membalas kecaman DAP terhadapnya kerana meneruskan perhimpunan di sebuah kedai perkakasan yang memasang Jalur Gemilang terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata, pihaknya berhimpun secara aman tanpa sebarang tindakan menghina pemimpin seperti dilakukan pembangkang ketika dahulu.

“Dulu masa zaman kamu pembangkang, lebih banyak arahan dan nasihat dari pihak polis untuk tidak berhimpun. Tapi kamu tetap buat juga, jadi itu pun boleh didakwa ke kerana melanggar arahan ketua polis?

“Siap kereta terbalik dan pijak gambar muka pemimpin kerajaan lagi ketika itu. Kami berhimpun secara aman, dan tidak ada langsung gambar muka pemimpin kamu dipijak semalam.

“Nak lapor polis? Bring it on, saya sedia untuk berikan kerjasama. Untuk takut kepada kamu? Tidak sama sekali!” katanya mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam hantaran Facebook hari ini.

Anthony dalam kenyataan media hari ini mengecam tindakan Dr. Akmal mengetuai perarakan dan demonstrasi di lokasi berkenaan walaupun amaran telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya tiada perhimpunan diadakan.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga terbabit walaupun siasatan masih dijalankan dan peniaga tersebut telah memohon maaf atas kesilapan pemasangan bendera.

“Tindakan mengabaikan amaran pihak polis adalah perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang serta mengganggu ketenteraman awam sehingga peniaga-peniaga di sekitar terpaksa menutup premis lebih awal.

“Perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya.

Beliau mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 503, 504, 505, 507B dan 507C berhubung kejadian itu.

Anthony turut menegaskan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan, namun mengugut dan membuli bukan cara untuk menyelesaikan isu tersebut.

BACA LAGI  



Catat Ulasan

0 Ulasan