Keluarga Datuk Seri Najib Razak berdoa agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menegakkan keadilan untuk bekas Perdana Menteri itu.
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, langkah itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Moga Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan dan mempercepatkan kepulangan Datuk Seri Najib ke pangkuan kami yang amat merinduinya," katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Bagi pihak Najib dan keluarga, Rosmah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir di Istana Kehakiman Putrajaya pada Rabu lalu, serta kepada mereka yang telah mengirimkan doa dan mesej sokongan.
"Kami amat berterima kasih kepada barisan peguam atas usaha gigih mereka dan kepada Yang Amat Arif Hakim kerana mengesahkan kewujudan titah adendum, serta mengembalikan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan kesahihannya," jelasnya,
Pada 13 Ogos lalu, Peguam Negara gagal menyekat Najib daripada meneruskan pendengaran permohonan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum.
Perkara itu ditentukan selepas rayuannya ditolak secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
0 Ulasan