Penganalis politik, Datuk Eric See-To berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan penjualan tanah kerajaan yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat pada harga 63 peratus lebih rendah daripada nilai pasaran, sekali gus menyebabkan kerugian RM136.8 juta kepada kerajaan.
Menurut beliau, pada November 2023, Anwar meluluskan penjualan enam plot tanah berkeluasan 26.8 ekar di Kampung Bohol, Taman Kinrara bersebelahan dengan Lebuhraya KESAS dengan harga RM81 juta atau RM69 sekaki persegi melalui proses tender terhad yang dipercepatkan, bukan tender terbuka.
"Daripada jumlah RM81 juta itu, RM41 juta dibayar secara tunai manakala RM40 juta lagi berbentuk kerja menaik taraf kolam takungan air selama lima bulan.
"PAC menganggarkan nilai pasaran sebenar tanah tersebut ialah RM217.8 juta atau RM187 sekaki persegi - bermakna ia telah dijual pada harga 63 peratus di bawah harga pasaran," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Eric menjelaskan, projek pembangunan yang diluluskan Kerajaan Madani bagi tanah 26.8 ekar itu melibatkan 1 plot seluas 3 ekar untuk Residensi Madani (B40), 2 plot RUMAWIP seluas 9.5 ekar (M40) dan 3 plot kediaman bebas seluas 14.3 ekar.
Namun, beliau berkata, daripada 6 plot tanah yang dijual kerajaan itu, salah satunya sebenarnya adalah tanah yang telah digazetkan sebagai kolam tadahan banjir.
"Projek Madani ini mencetuskan kemarahan penduduk tempatan yang khuatir pengurangan saiz kolam takungan dan pembangunan secara besar-besaran di kawasan sekitar kolam tadahan banjir itu akan menambah buruk masalah banjir di kawasan itu sehingga mendorong mereka turun berprotes.
"Namun Madani tak layan 1,275 bantahan rasmi difailkan penduduk dan telah teruskan projek serta penjualan tanah tersebut," jelasnya.

0 Ulasan