Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, segala usaha reformasi pendidikan negara sedang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan, dengan tumpuan terhadap agenda jangka panjang demi manfaat generasi akan datang.
Fadhlina berkata, mungkin ada cakap-cakap, mengapa tiada perubahan dalam pendidikan negara walaupun setelah lebih dua tahun beliau menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
"Sebetulnya saya tidak mahu melayan telahan sebegini kerana ada pelbagai tugasan penting dan gerak kerja yang sedang direncanakan KPM dalam usaha mereformasikan pendidikan negara.
“Tetapi saya mesti berlaku adil kepada seluruh warga kerja Kementerian yang bekerja bersungguh-sungguh demi rakyat dan negara.
"Kritik saya tidak mengapa, tetapi pengorbanan serta sumbangan besar warga kerja KPM jangan pula dinafikan,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Menurut beliau, pendidikan adalah satu proses berterusan yang mengambil masa panjang sebelum menampakkan hasil.
“Tidak seperti bidang lain yang mungkin boleh ditimbang untung rugi dengan cepat, menuai hasil dalam pendidikan mengambil masa, mungkin 10 atau 15 tahun, atau lebih lama lagi.
"Namun, apa yang utama adalah memastikan kita melakukan perkara yang betul demi masa hadapan generasi akan datang,” ujarnya.
Fadhlina berkata, antara keutamaan awal beliau adalah menyusun semula gerak kerja KPM untuk menangani isu kehilangan pembelajaran pasca pandemik COVID-19.
“Saya tidak mahu terburu-buru membuat perubahan yang berkemungkinan mengganggu dasar dan hala tuju pendidikan negara yang sedang berjalan.
"Anak-anak bukan tikus makmal. Perubahan rencana jika dilakukan secara populis, tergesa-gesa atau membuta tuli hanya akan memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan ekosistem negara.
“Sebaliknya, fokus saya sepanjang lebih dua tahun menerajui KPM adalah untuk memastikan setiap perancangan yang telah dibuat berjalan lancar dan hala tuju yang telah ditetapkan mencapai matlamatnya,” jelasnya.
Mengenai persoalan mengapa pelan pendidikan dan kurikulum baharu hanya dimuktamadkan pada 2026 dan 2027, Fadhlina menegaskan perkara itu dibuat mengikut kitaran sedia ada.
“Seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
"Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan kurikulum persekolahan sedia ada berjalan dalam satu kitaran yang terancang dan berterusan.
"Kontinum ini jika dirombak sesuka hati impaknya besar kepada murid, guru dan seluruh ekosistem pendidikan.
“Bayangkan, apa akan terjadi jika PPPM 2013-2025 yang sedang berada dalam gelombang akhir tiba-tiba dirombak begitu sahaja?
"Begitu juga dengan kurikulum sedia ada yang telah hampir sampai ke penghujung kitaran. Jika ada yang tersasar dan terkeluar landasan, kami berusaha untuk perbetulkan,” katanya.
Beliau menjelaskan beberapa siri intervensi telah dilaksanakan, termasuk menambah baik pelaksanaan kurikulum, mengatasi kepadatan kurikulum, serta mengendalikan isu literasi dan numerasi murid tahun 1 menerusi program saringan dan intervensi 3M.
Katanya, agenda Reformasi Pendidikan turut memfokuskan enam teras utama iaitu intervensi kurikulum, peluasan prasekolah, pemerkasaan pendidikan STEM dan TVET, pendidikan digital serta inisiatif memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.
“Reformasi Pendidikan yang sedang giat berjalan di semua peringkat pula tidak hanya memberi tumpuan kepada tambah baik pelaksanaan dasar sedia ada, sebaliknya ia turut memfokuskan kepada hala tuju masa hadapan pendidikan negara,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah penting ialah penyediaan Kurikulum Persekolahan 2027 dan PPPM 2026-2035 yang kini sedang melalui fasa jerayawara di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas awam.
Berhubung pindaan undang-undang, Fadhlina menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 sebagai pencetus perubahan besar.
“Baru-baru ini RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan di Dewan Rakyat. Ia merupakan satu langkah besar yang memerlukan iltizam serta kehendak politik yang tinggi dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Usaha memuktamadkan dasar pendidikan menengah wajib bakal memberi impak signifikan kepada usaha untuk menangani keciciran dan memastikan hak setiap anak warganegara Malaysia untuk mendapat peluang pendidikan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, isu kekurangan guru dan sekolah daif turut diberi perhatian.
“Bermula tahun ini KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berkerjasama melaksanakan pengambilan guru dua kali setahun. Inisiatif pengambilan guru khas untuk Sabah dan Sarawak turut diperkenalkan.
“Sehingga bulan Ogos 2025, penempatan guru di seluruh negara telah berjaya ditingkatkan sehingga mencapai 97 peratus. Lonjakan ini akan diteruskan bagi memastikan jumlah guru yang mencukupi,” katanya.
Menurut beliau, 749 projek pembangunan semula sekolah daif telah siap sepenuhnya, 201 sedang dalam pembinaan manakala 227 lagi berada di peringkat prabina.
“Isu-isu pendidikan yang berbangkit bukan baharu. Kebanyakannya telah lama membelenggu dan ada antaranya bersifat sistemik serta memerlukan masa untuk ditangani.
"Percayalah, kami sedang melakukan yang terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat,” katanya.

0 Ulasan