Dominic dakwa Kerajaan Madani main sandiwara lagi

 

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka mengarahkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) supaya tidak menjual hak konsesi lebuh raya. 

Beliau bertanya sama ada tindakan itu sekali lagi merupakan “sandiwara” Kerajaan MADANI untuk mengaburi mata rakyat.

Dominic berkata, sebagai Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), Anwar mustahil tidak mengetahui tentang rancangan itu.

"Penjualan aset bernilai berbilion ringgit, khususnya yang berkait dengan hak konsesi lebuh raya bertol, pastinya akan mendapat pandangan dan kebenaran Perdana Menteri terlebih dahulu. 

"Jika tidak mendapat restu atau persetujuan beliau, bagaimana mungkin pengumuman boleh dibuat secara terburu-buru tanpa kelulusan lembaga pengarah?" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, PNB juga baru-baru ini mengesahkan sedang mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak berhubung lebuh raya yang dimiliki anak syarikatnya, Prolintas Holdings Sdn. Bhd. 

Katanya, walaupun PNB menyatakan ia hanya peringkat awal rundingan dan belum membuat sebarang keputusan, isu utamanya ialah para pelabur PNB ingin tahu mengapa mahu melepaskan “angsa yang bertelur emas”.

"Tidakkah kerajaan sepatutnya memberikan penjelasan?

“Anwar sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama, mula-mula menyokong sesuatu rancangan atau dasar, kemudian tampil sebagai ‘wira’. 

"Jika Perdana Menteri benar-benar berpendapat penjualan lebuh raya ini akan menjejaskan kepentingan negara dan bumiputera, beliau sepatutnya berunding dengan PNB dan lembaga pengarah YPB terlebih dahulu. 

"Bagaimana boleh berlaku keputusan besar tanpa kelulusan beliau?” soalnya.

Dominic berkata, meskipun PNB mempunyai autonomi dan hak untuk membuat keputusan berhubung sebarang pelupusan aset atau rancangan pelaburan, dalam isu besar yang melibatkan lebuh raya, PNB sudah pasti tidak akan bertindak sembarangan. 

"Ini hanya membuktikan bahawa di belakangnya sudah ada restu kerajaan atau seorang tokoh utama negara sebelum tindakan itu dibuat," katanya.

Namun, pada pandangan beliau, semua ini hanyalah “sandiwara” Anwar. 

Katanya, rakyat maklum bahawa PNB ditubuhkan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, dikawal oleh YPB, dan pengerusi YPB ialah Anwar sendiri. 

Lebih-lebih lagi, katanya, isu penting seperti penjualan lebuh raya dengan peranan strategik PNB sudah tentu tidak akan diputuskan tanpa arahan atau campur tangan pemimpin utama kerajaan.

"Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan baru sahaja mengumumkan lanjutan tempoh konsesi bagi beberapa lebuh raya dalam negara, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang mencatatkan jumlah pengguna paling ramai, hingga tahun 2068. "Dalam keadaan sebegini, beliau bimbang PNB mungkin dipaksa mengambil tindakan tersebut semata-mata untuk memenuhi keperluan pembayaran dividen tahun depan," jelasnya.

BACA LAGI  




Catat Ulasan

0 Ulasan