Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker bersimpati dan terkejut dengan luahan Ustaz Wadi Annuar di media sosial berikutan pembatalan secara tiba-tiba ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan pada 6 September ini.
Menurut beliau, arahan pembatalan oleh pihak yang berkuasa seperti disebut oleh Ustaz Wadi Anuar, seorang tokoh agamawan yang sangat tinggi kesantunan pekerti dan bukanlah individu kontroversi amat mengecewakan dan mengejutkan.
"Menurut Ustaz Wadi melalui video beliau tersebut, semua persiapan bagi program tersebut telah diatur rapi oleh pihak-pihak terlibat iaitu pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
"Malah beliau turut menyatakan telah mendapat surat tauliah dari pihak MAINS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad Hanifah melihat perkara itu sebagai campur tangan yang melampau kerana pembatalan dibuat secara tiba-tiba walhal kehadiran Ustaz Wadi Annuar sebagai penceramah utama bagi program 'Healing de'Masjid' mendapat kelulusan MAINS.
Beliau berkata, ia amat dikesali kerana kerajaan negeri masih didukung oleh majoriti wakil rakyat beragama Islam.
"Tindakan pembatalan sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan Madani Negeri Sembilan ibarat 'lembu dicucuk hidung', seolah-olah tunduk dengan pihak yang tidak senang dengan kelangsungan program itu.
"Secara langsung ini suatu bentuk gangguan politik terhadap syiar Islam di Negeri Sembilan," jelasnya.
Beliau memandang serius terhadap isu ini dan mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Exco bagi Portfolio Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan bertindak tegas serta menjelaskan kepada rakyat berkenaan perkara tersebut.

0 Ulasan