![]() |
| Gambar hiasan: FB Malaysia Airports |
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia mendesak Kementerian Pengangkutan campur tangan berhubung pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di laluan ketibaan dan pelepasan di Terminal 1 serta Terminal 2 KLIA yang dianggap membebankan pemandu e-hailing serta pengguna.
Persatuan itu dalam kenyataan hari ini berkata, caj yang dikenakan tidak masuk akal kerana menambah kos kepada semua pihak, selain menjejaskan imej lapangan terbang berkenaan.
“MAHB tidak boleh menggunakan alasan kesesakan di laluan ketibaan dan pelepasan untuk sewenang-wenang mengenakan bayaran kepada pemandu-pemandu e-hailing serta pengguna.
“Tindakan ini akan menambah beban kepada semua pihak termasuk pengguna.
"Persoalannya, adakah sistem yang sedang diuji dan bakal dikuatkuasakan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan?
"Adakah pengguna KLIA dan pemandu e-hailing bahan ujian hingga menyusahkan kami semua?” katanya.
Menurut kenyataan itu, sebelum ini sistem sama dilaksanakan di Terminal 1 dan Terminal 2 bagi e-hailing pickup dengan caj RM2 setiap kali masuk, namun bayaran itu ada dikembalikan oleh beberapa operator termasuk Grab Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, kelemahan sistem itu menyebabkan masa perjalanan ke lokasi mengambil penumpang lebih lama, malah penumpang sering merungut lokasi menunggu di Terminal 2 panas serta tiada pengudaraan baik sehingga memberi imej negatif kepada pelancong.
Katanya, faktor kelewatan menunggu ruang parkir, penumpang warga emas dan bagasi sepatutnya diambil kira sebelum MAHB mahu mengenakan penalti RM100.
“Fakta ini semua tidak memerlukan ujian, sebaliknya itulah hakikat yang berlaku setiap masa di ruang luar lobi pelepasan Terminal 1.
"Sepatutnya, langkah yang lebih wajar ialah meletakkan penguat kuasa bagi mengawal lalu lintas,” katanya.
Persatuan tersebut menegaskan, meskipun ada segelintir pemandu mengambil masa lama di laluan pelepasan, keadaan itu tidak sampai mencetuskan kesesakan teruk.
“Bayangkan jika pemandu terlebih 10 minit dan penumpang sudahpun masuk ke lobi pelepasan, pemandu terpaksa menanggung kerugian akibat langkah MAHB yang mahu jalan mudah bagi mengawal kesesakan.
“Justeru, kami mendesak Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan trafik bagi mengawal kesesakan dan bukannya dengan menggunakan pendekatan one size fits all yang akan membebankan pemandu e-hailing,” jelas kenyataan itu.

0 Ulasan