Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Tan Sri Annuar Musa yang baru bersuara mengenai isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru selepas sekian lama berdiam diri.
Beliau berkata, Annuar sepatutnya menjelaskan segera dakwaan berhubung kelulusan pengambilan tanah semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, bukannya memberi dua pilihan kepada menteri kini.
“Baru sekarang Annuar bersuara? Sebelum ini Annuar Musa senyap membungkam isu Kampung Sungai Baru.
"Baru sekarang bersuara dan beri dua pilihan kepada Menteri Wilayah. Tak payahlah. Jawab sahaja dengan segera,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Mohd. Puad turut mempersoalkan sama ada benar permohonan pemaju untuk mengambil tanah termasuk unit flat dan lot teres telah diluluskan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian pada 9 September 2020 yang dipengerusikan oleh Annuar sendiri.
Beliau berkata, pelaksanaan pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) pada 18 dan 21 Jun 2021 juga menimbulkan persoalan kerana dilakukan dalam tempoh yang amat singkat.
“Manakala pewartaan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021. Dalam tempoh tiga hari sahaja,” katanya.
Mohd. Puad secara sinis mengingatkan Annuar agar tidak mengelak daripada bertanggungjawab terhadap isu itu dengan alasan sama seperti diberikan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Jangan pula Annuar jawab macam Shahidan. Menteri tidak ada kuasa. Ketua Setiausaha yang berkuasa,” katanya.
0 Ulasan