Perikatan Nasional (PN) berjanji akan memperkenalkan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan, dengan pemberian tunai sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN yakin mampu menyalurkan bantuan tersebut berdasarkan kedudukan fiskal negara yang dianggap kukuh dan berdaya saing.
Menurut beliau, pendekatan PN berbeza dengan skim sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dianggap bersyarat dan mengehadkan kebebasan rakyat dalam berbelanja.
“PN akan beri bantuan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membeli apa yang mereka mahukan dan perlukan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menjelaskan, cadangan penggantian skim SARA dengan BPN bukan sekadar untuk merangsang semula ekonomi negara, tetapi bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan melalui sistem jaringan keselamatan sosial yang adil dan bermaruah.
Sehubungan itu, katanya, PN akan menilai semula keseluruhan kerangka jaringan sosial negara agar setiap bantuan serta perbelanjaan awam membawa makna sebenar kepada prinsip keadilan sosial.
0 Ulasan