Rakyat Sabah semakin matang, pengkhianat pasti ditolak - Bung Moktar

 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan rakyat negeri itu kini semakin matang dan mampu menilai siapa pemimpin yang setia kepada perjuangan parti serta siapa yang sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan diri.

Beliau berkata, pengkhianatan terhadap BN oleh beberapa bekas pemimpin parti akan kembali diuji dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), termasuk keberanian mereka bertanding tanpa berselindung di bawah nama dan pengaruh BN.

“Kalau betul mahu bertanding, inilah masanya untuk Shahelmey Yahya dan Andi Suryady menunjukkan kekuatan sebenar tanpa bergantung kepada jentera dan pengaruh BN. 

"Jangan lagi berselindung di sebalik kuasa yang diperoleh hasil pengkhianatan,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online semalam.

Menurutnya, kemenangan yang diraih mereka pada PRN16 dan PRU15 bukan hasil kekuatan individu, tetapi berkat usaha jentera parti serta kepercayaan pengundi terhadap BN.

“Mari kita lihat sejauh mana kamu benar-benar kuat tanpa bendera BN. Rakyat kini lebih matang, mereka tahu siapa yang ikhlas berjuang dan siapa yang menikam dari belakang,” tegasnya.

Bung Moktar turut menegaskan BN tidak akan melupakan episod pengkhianatan yang berlaku dan kini bersedia sepenuhnya menghadapi mana-mana pihak yang cuba menafikan perjuangan asal parti.

“UMNO dan BN tidak sekadar mahu menang dalam PRN17, tetapi mahu menghapuskan legasi pengkhianatan yang telah mencemar maruah politik Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata, penyokong BN kini semakin bersemangat dan bersatu bagi memastikan calon-calon pengkhianat diberikan pengajaran oleh rakyat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Tanjung Batu.

“Pengundi di kawasan ini pernah menaikkan mereka. 

"Kini tibalah masa untuk rakyat yang sama menunjukkan pendirian, bahawa kesetiaan dan maruah perjuangan tidak boleh dijual beli,” jelasnya.

Katanya lagi, rakyat Sabah tidak lagi mudah diperdaya dengan janji kosong dan permainan politik sempit, sebaliknya semakin bijak menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah,” katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan