Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas sikap segelintir pemimpin MCA dan MIC yang disifatkannya ‘panas punggung’ selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyentuh isu “toys” baru-baru ini.
Menurut beliau, kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang bercakap soal maruah parti dilihat bercanggah kerana tidak mendesak MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika benar mahu mempertahankan maruah.
“Nampaknya beberapa pemimpin MCA dan MIC panas punggung bila Presiden UMNO sebut pasal ‘toys’. Sudah tentu Ti Lian Ker tidak lepas peluang.
"Cuma kali ini nada dia jauh berbeda. Dia cakap pasal maruah. Tetapi dia tidak mendesak pula MCA keluar segera dari BN demi maruah MCA,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Mohd. Puad berkata, Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan hasil kajian menunjukkan majoriti ahli MCA dan MIC mahu kedua-dua parti itu kekal dalam BN.
“Patut kajian itu yang dijawab oleh mereka yang melatah. Ada yang melatah itu secara terbuka berkata mereka dijanjikan jawatan jika sokong Kerajaan Perpaduan.
"Tapi janji itu tidak ditunaikan. Mereka kata PBRS parti lokal dapat toy (Timbalan Menteri) tetapi MCA dan MIC parti nasional tidak dapat toy,” katanya.
Beliau turut mencabar MCA supaya membuktikan maruah parti dengan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan sama ada kekal atau keluar daripada BN, selain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kita mahu melihat MCA bermaruah atau tidak,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian BN di bawah kepimpinan Ahmad Zahid jelas membuktikan parti itu terus kukuh meskipun berdepan cabaran.
“Bila bercakap soal maruah, di bawah Zahid BN merampas balik kerusi Tanjung Piai, Melaka dan Johor. Dan kekal berkuasa di Pahang dan Perak.
"Bahkan BN menang banyak PRK. Maka tidak benar kes pendakwaan Zahid merosakkan imej BN atau jadi punca MCA menang dua kerusi saja. Itu pun di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Beliau menegaskan, kekalahan teruk MCA dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 berpunca daripada kelemahan parti itu sendiri, bukan kerana UMNO.
“MCA kalah teruk di PRU14 dan PRU15 kerana imej MCA. Parti MCA yang menjatuhkan maruah sendiri. Sebab itu MCA khususnya, jangan cakap banyak.
"Buktikan menang satu kerusi di PRN Sabah. Itu sudah memadai untuk membuktikan MCA ada maruah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegur tindakan MCA yang sering menyalahkan UMNO dan DAP sebagai punca kemerosotan BN, sedangkan kegagalan sebenar berpunca daripada kelemahan dalaman parti itu sendiri.
“Jangan jadikan DAP alasan dan kambing hitam. UMNO tetap menang di Nenggiri. Itu kubu PAS. Itu majoriti Melayu.
"Apa kena mengena dengan DAP? Pulihkan diri sendiri seperti apa yang UMNO lakukan,” katanya.
Menurutnya, jika MCA dan MIC benar-benar jujur mahu memperkukuh BN, mereka perlu membuka ruang kepada kumpulan Friends of BN untuk menjadi ahli baharu gabungan itu.
“Kenapa disekat jika kamu sendiri tidak berupaya?” katanya.
0 Ulasan