PRN Sabah: PKR tidak berpegang semangat setiakawan

 

Ketua Wanita MCA Sabah, Datuk Dr. Pamela Yong menegur PKR yang disifatkan tidak berpegang kepada semangat setiakawan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, asas kepada mana-mana pakatan politik adalah persefahaman, kerjasama dan semangat setiakawan, namun tindakan PKR kebelakangan ini dilihat bercanggah dengan nilai tersebut.

“Dalam mana-mana pakatan atau gabungan politik, mesti wujud terlebih dahulu satu asas persefahaman tentang kerjasama dan semangat setiakawan — elemen teras yang menjadi pengikat sesuatu perkongsian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pamela berkata, sikap PKR yang sibuk menegur rakan sekutunya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kerana mahu menggunakan logo sendiri, menggambarkan seolah-olah parti itu tidak melakukan muhasabah terhadap tindak-tanduknya sendiri.

“Sedang PKR sibuk menegur rakan sekutunya UPKO kerana berhasrat menggunakan logo sendiri, mungkin ada baiknya PKR terlebih dahulu bermuhasabah diri. 

"Sebelum mempersoalkan kesetiaan pihak lain, PKR sepatutnya menilai tindak-tanduknya yang kelihatan menggugat perpaduan gabungan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan PKR menerima bekas ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Chew Kok Woh, yang sebelum ini berkhidmat di bawah Barisan Nasional (BN) dan dilantik sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Pamela, langkah PKR menyambut baik kemasukan Chew menimbulkan tanda tanya dan persepsi bahawa keputusan itu bermotif politik dan tidak menghormati semangat kerjasama dalam gabungan.

“Dengan menerima beliau begitu mudah, PKR menunjukkan seolah-olah tidak menghormati semangat kerjasama dengan ‘rakan sekutu’ kononnya — GRS di satu pihak dan BN di pihak yang lain,” ujarnya.

Katanya, tindakan sedemikian menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dalam politik, malah merosakkan kepercayaan antara parti sekutu dalam gabungan.

“Ia ibarat menampar GRS di pipi kiri dan BN di pipi kanan, sambil mendakwa duduk semeja sebagai rakan kongsi — satu perbuatan yang menggambarkan dengan tepat hipokrasi sebuah pakatan yang kononnya bersatu, tetapi sebenarnya memupuk perpecahan,” katanya.

Pamela menegaskan bahawa jika kerjasama pakatan politik berasaskan prinsip dan strategi bersama, tindakan PKR-PH itu menunjukkan bahawa asas kepercayaan dalam gabungan tersebut kini semakin longgar.

“Jika asas kerjasama pakatan ialah prinsip bersama dan strategi yang selaras, maka tindakan PKR-PH ini jelas menunjukkan bahawa teras kepercayaan itu telah longgar — meninggalkan pakatan yang hanya tinggal pada nama, tetapi pincang dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan PKR dan PH dalam menyeru perpaduan, sedangkan tindakan mereka sendiri menunjukkan sebaliknya.

“Inikah tafsiran PKR-PH tentang erti kerjasama? Atau adakah kini kita sedang menyaksikan wajah sebenar sebuah gabungan yang kononnya menyeru perpaduan, tetapi sebenarnya mengamalkan budaya ‘main dua kolam’ — dan melakukannya dengan cara yang tidak bijak?” soalnya.

Pamela menegaskan, rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang berasaskan kepercayaan dan prinsip, bukan politik kepentingan sementara dan kitar semula.







Catat Ulasan

0 Ulasan