Kenapa politikkan kewarganegaraan pemain warisan? - Puad

 


Pemberian kerakyatan kepada pemain warisan adalah langkah yang wajar dan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia membawa agenda nasional demi kemajuan sukan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pemberian kerakyatan kepada pemain warisan merupakan strategi penting bagi memastikan Malaysia berpeluang melayakkan diri ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia.

“Kenapa dipolitikkan kewarganegaraan pemain warisan? Apa salahnya diberi kerakyatan atas agenda nasional? 

"Pemberian kerakyatan kepada pemain warisan adalah langkah strategik agar Malaysia layak masuk ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut beliau, langkah itu seharusnya disokong kerana bertujuan meningkatkan kualiti sukan negara selain memberi motivasi kepada bakat tempatan agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Mohd. Puad menambah, Malaysia wajar mencontohi pendekatan Singapura yang menubuhkan program Foreign Sports Talent (FST) dengan memberi kerakyatan secara laluan pantas kepada atlet bertaraf dunia.

“Apa salahnya kita contohi Singapura? Negara itu menubuhkan FST (Foreign Sports Talent). Ahli sukan bertaraf dunia diberi kerakyatan secara cepat. 

"Ada yang menang pingat di Sukan Olimpik. Itu memberi semangat kepada rakyat Singapura agar lebih berdaya saing,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman program FST, atlet yang diberi kerakyatan akan mengikuti program khas bagi diintegrasikan dengan budaya tempatan dan jumlah mereka juga tidak ramai, hanya melibatkan sukan terpilih sahaja.

“Ikut pengalaman FST, selepas mendapat kerakyatan mereka masuk program khas untuk diintegrasikan dengan budaya rakyat tempatan. Jumlahnya tidak ramai, hanya untuk jenis sukan yang terpilih sahaja,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan