Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan penubuhan pelbagai gabungan politik oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda wujudnya perpecahan dalaman yang semakin menebal.
Beliau berkata, langkah menubuhkan pelbagai entiti seperti Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sekretariat Orang Melayu di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan PN tidak bersatu hati.
“Kalau sudah ada Perikatan Nasional, buat apa lagi tubuh ‘Ikatan Prihatin Rakyat’ di bawah Muhyiddin? Lepas itu tubuh ‘Sekretariat Orang Melayu’ di bawah Mahathir? Kenapa tidak di bawah satu bumbung PN sahaja?
“Itu namanya bersatu tetapi berpecah. Banyak sangat kepala. Ramai sangat yang mahu jadi ketua. Tiga entiti tetapi melibatkan pengemudi yang sama,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Menurut beliau, kewujudan pelbagai gabungan itu menggambarkan wujudnya saling curiga dalam kalangan pemimpin PN sendiri.
“Hakikatnya, perpecahan dan saling mencurigai tetap menebal dalam PN. Kehadiran Urimai (P. Ramasamy) dan MAP (Waytha Moorthy) punca IPR diwujudkan.
"Tetapi dalam masa yang sama mereka mahu sokongan orang Melayu melalui Sekretariat Melayu,” katanya.
Mohd. Puad menegaskan, penubuhan banyak cabang politik oleh pihak berkenaan hanya bertujuan memperdaya rakyat semata-mata untuk meraih kuasa.
“Penubuhan banyak cabang ini hanya mahu menipu rakyat. Tujuan sebenar hanya untuk mencari kuasa.
"Ia akan cepat rapuh, bersifat sementara dan tiada kestabilan untuk prihatin rakyat,” katanya.
0 Ulasan